fbpx

Mangsa penipuan pelaburan gesa polis siasat semula kes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishamuddin ketika bercakap kepada media pada sidang akhbar aduan mangsa penipuan pelaburan di Menara KPJ, Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh MOHD FARIZWAN HASBULLAH / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seramai 93 mangsa skim penipuan pelaburan menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan semakan semula siasatan agar tindakan setimpal diambil terhadap ‘scammer’.

Setiausaha Agung, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, kesemua mangsa telah membuat laporan polis pada tiga bulan lalu dan terdapat kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) atau kes sivil.

“Malah ada pendakwaan dilakukan di Melaka, namun hanya membabitkan lapan saksi pendakwaan.

“Bagaimana kes yang membabitkan hampir ratusan mangsa, namun lapan orang sahaja menjadi saksi pendakwaan?

“Apakah ini bukannya dengan jelas menunjukkan satu jenayah penipuan terancang, sekiranya bukan, pengadu dan mangsa memerlukan jawapan daripada pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini hari ini.

Jelas Hishammuddin, kesemua mangsa yang majoritinya warga emas itu telah terperdaya dengan penipuan pelaburan saham oleh dua syarikat membabitkan kerugian sebanyak RM10.48 juta.

Katanya, kedua-dua syarikat itu dikatakan bertindak sebagai ejen pemasaran untuk mempromosikan pelaburan tersebut dengan mendakwa ia dijalankan syarikat berdaftar dan terkemuka di luar negara.

“Antara modus operandi syarikat-syarikat tersebut apabila mereka menggunakan sistem e-wallet dan menawarkan pembelian unit saham melalui mata wang kripto.

“Individu yang berminat perlu menandatangani perjanjian untuk tempoh beberapa tahun sebelum memperoleh pulangan hasil pelaburan.

“Malah, pelabur diberikan surat perjanjian dalam bahasa Inggeris dan jumlah muka surat yang tebal serta banyak sehinggakan sukar difahami mangsa,” katanya.

Menurut Hishamuddin, apabila tempoh perjanjian tamat pada 2019, mangsa sehingga kini tidak mendapat sebarang pulangan hasil wang yang dilabur.

Tambah beliau, mangsa telah pergi ke syarikat atau cuba berjumpa dengan mereka yang bertanggungjawab dalam pelaburan tersebut, namun didakwa tidak diendahkan.

“Hasil pemeriksaan mendapati syarikat yang kononnya berdaftar di Amerika Syarikat sebenarnya mempunyai ibu pejabat di Selangor.

“Berdasarkan carian profil, menunjukkan ejen pemasaran dan syarikat yang menawarkan pelabiran itu mempunyai alamat sama,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI