fbpx

‘Uncle Kapitan Jelebu’ tinggal di rumah usang sejak 60 tahun lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIAP Beng sudah menetap 60 tahun di rumah usang itu yang didirikan hasil belas ihsan tuan tanah berbangsa Melayu.

JELEBU – Bayangkan di tengah-tengah bandar Kuala Klawang, Jelebu tersorok sebuah rumah usang yang didiami seorang warga emas bangsa Cina yang dikenali sebagai ‘Uncle Kapitan Jelebu’.

Uncle Kapitan Jelebu atau nama sebenarnya, Lim Tiap Beng, 81, yang fasih berbahasa Melayu berkata, dia sudah menetap 60 tahun di rumah usang itu yang didirikan hasil belas ihsan tuan tanah berbangsa Melayu yang memberi kebenaran untuk tinggal di situ.

Menurut Tiap Beng, rumah tersebut tidak mempunyai kemudahan bekalan air dan elektrik sejak 60 tahun lalu, namun dia bersyukur dan gembira menetap di rumah usang tersebut.

“Saya tidak mahu menyusahkan orang lain, saya masih mempunyai seorang kakak dan hampir setiap hari anak saudara datang melawat dan membawa makanan ke rumah.

“Apa nak susah-susah, cukuplah apa yang Tuhan bagi kita semua hanya menumpang kat dunia ini, esok lusa kalau Tuhan nak matikan kita semua akan tinggal juga,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini baru-baru ini.

Tiap Beng yang masih tidak berkahwin berkata, hidupnya lebih daripada cukup dan dia juga ada menerima bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Sebelum ini, saya pernah ditawarkan untuk tinggal di Rumah Orang Tua, tetapi saya menolak kerana lebih selesa dan tenang tinggal di rumah usang ini walaupun dalam serba kekurangan.

“Saya menggunakan perigi yang digali sendiri sejak 40 tahun lalu sebagai sumber bekalan air,” katanya yang sangat ceria.

Tiap Beng memberitahu penduduk di sekitar memanggilnya ‘Uncle Kapitan Jelebu’ kerana suka menegur sesiapa sahaja tidak kira bangsa Melayu, Cina atau India.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Dan Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9), Norfadilah Mansor yang mengunjungi ‘Uncle Kapitan Jelebu’ dan menyampaikan sumbangan makanan dan barang keperluan lain berkata, jelas terpancar keceriaan semasa menziarahi warga emas itu.

“Dia tidak sedikit pun mengeluh malah amat bersyukur tinggal di situ seorang diri dalam keadaan usia yang sudah lanjut dan dalam serba kekurangan.

“Paling dikagumi kawasan sekeliling cukup bersih walaupun tempat tinggal sebegitu dan sentiasa memuji kebaikan tuan tanah bangsa Melayu yang setiap tahun akan menziarahinya setiap kali Hari Raya kerana dia pulang ke kampung,” katanya.  -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI