AMSTERDAM – Pemenang pingat perak Sukan Olimpik dan Kejohanan Dunia acara 400 meter (m) berpagar, Femke Bol melakukan kejutan apabila berjaya memecah rekod dunia 400m dalam dewan miliknya sendiri.
Pada Kejohanan Olahraga Dalam Dewan Belanda di Apeldoorn awal pagi semalam, pelari berusia 23 tahun itu mencatat masa terpantas dengan rekod 49.24 saat (s), sekali gus memperbaiki rekod dunia 49.26s yang diciptanya tahun lalu.
Pada tahun lalu, Bol memecahkan rekod berusia 40 tahun iaitu 49.59s yang dicipta oleh Jarmila Kratochvilova pada 7 Mac 1982.
Pada saingan tersebut, Lieke Klaver menamatkan larian di tempat kedua dengan catatan masa 50.10s dalam aksi yang berlangsung di Stadium Omnisport dengan tempat ketiga menjadi milik Cathelijn Peeters menerusi catatan 52.08s.
“Saya tidak pernah bosan melakukan perkara ini terutama dengan kehadiran semua orang yang memberi sorakan padu kepada saya.
“Impian saya untuk mencatat rekod dunia sekali lagi menjadi kenyataan dan sungguh gembira melihat peminat Belanda menyaksikan detik bersejarah ini,” katanya.
Rekod tersebut melonjakkan semangat Bol untuk mencari gelaran dunia terutama dalam acara 400m dalam dewan pertamanya yang berlangsung di Glasgow, Scotland bulan depan. – AGENSI