fbpx

3 jeneral dihukum mati serah bandar kepada pemberontak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR 4 Februari lalu menunjukkan beberapa kediaman musnah susulan pertempuran antara tentera Myanmar dan Tentera Pembebasan Kachin di Nam Hpat Kar, negeri Shan. – AFP

YANGON –  Junta Myanmar menjatuhi hukuman mati terhadap tiga brigedier jeneral yang menyerah diri bersama beratus-ratus askar dan menyerahkan sebuah bandar strategik di sempadan China kepada pejuang etnik minoriti pada bulan lalu, sumber tentera memberitahu AFP hari ini.

“Tiga brigedier jeneral termasuk komander bandar Laukkai telah dijatuhi hukuman mati,” kata sumber tentera kepada AFP dengan syarat nama mereka tidak disiarkan, kerana mereka tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media.

Satu lagi sumber tentera mengesahkan hukuman mati tersebut.

Beratus-ratus askar Myanmar menyerah diri di bandar  Laukkai dalam, negeri Shan, utara Myanmar, kepada apa militia dikenali sebagai Perikatan Tiga Ikhwan pada Januari lalu selepas pertempuran selama berbulan-bulan.

Tindakan menyerah kalah itu dianggap kerugian terbesar untuk tentera Myanmar dalam masa beberapa dekad. Ia juga mengundang kritikan awam yang jarang berlaku ketika junta dan penyokongnya bergelut mematahkan penentangan terhadap rampasan kuasa pada 2021.

Selepas menyerahkan bandar Laukkai, pegawai dan tentera Myanmar dibenarkan meninggalkan kawasan itu.

Kedua-dua sumber yang dihubungi AFP tidak memberikan butiran lanjut bila keputusan hukuman mati itu diumumkan.

Bagaimanapun, seorang jurucakap tentera mengesahkan kepada AFP pada bulan lalu bahawa tiga brigedier jeneral terbabit berada dalam tahanan tentera.

Di bawah undang-undang tentera Myanmar, meninggalkan pos  tanpa kebenaran boleh dihukum dengan hukuman mati. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI