PETALING JAYA – Proton sedang menyusun strategi untuk mengukuhkan kedudukan pasaran eksport susulan kejayaan syarikat yang mencatatkan prestasi jualan domestik yang baik pada tahun lalu.
Pengarah Bahagian Jualan Antarabangsa Proton, Steven Xu berkata, pasaran eksport yang terawal dan berdaya saing adalah Brunei Darussalam.
Menurut beliau, pasaran di negara jiran itu telah menunjukkan pertumbuhan yang luar biasa pada tahun lalu dengan mencatatkan rekod jualan baharu bagi jenama Proton.
Menurutnya, setahun selepas menjual 422 unit pada 2022, jualan meningkat sebanyak 87 peratus pada 2023 apabila sebanyak 789 unit kenderaan Proton dijual di Brunei pada tahun tersebut.
“Prestasi luar biasa itu melonjakkan jenama Proton ke tangga kelima keseluruhan dalam jadual jualan dan memperoleh pegangan pasaran sebanyak 5.4 peratus, naik satu tempat dan meningkat 2.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Jumlah Volum Industri (TIV) bagi negara tersebut direkodkan pada 14,640 unit untuk tahun 2023, peningkatan daripada 13,000 unit bagi 2022,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Xu menjelaskan, Proton X50 menduduki tempat ketiga untuk jualan SUV segmen B, menjadikan ia model Proton siri X terlaris sejak diperkenalkan pada Oktober 2020.
Lebih 100,000 unit dikeluarkan daripada barisan pemasangan di kilang Proton di Tanjung Malim dan ini membuktikan popularitinya dalam kalangan pelanggan sama ada di Malaysia atau di luar negara.
“Populariti Proton X50 di Brunei boleh dikaitkan dengan komunikasi yang jelas tentang nilai dan cirinya serta ekuiti jenama kami.
“Kami bekerjasama rapat dengan pengimport iaitu PAD Motors untuk mempromosikan harga kompetitif dan ciri-ciri unggul model itu berbanding pesaingnya di samping menawarkan pakej kewangan untuk memudahkan pembelian.
“Ini disokong dengan aktiviti kami untuk mempromosikan jenama Proton yang dibantu oleh kejayaan X50 di Malaysia yang membantu membina keyakinan pelanggan di Brunei,” ujarnya.
Hasil usaha promosi dan penjenamaan, model Proton lain turut disenaraikan dalam tempat 10 teratas segmen masing-masing pada 2023.
Proton Persona dan Proton Iriz berada pada kedudukan keenam dan kelapan untuk kereta segmen B, manakala Proton X90 menduduki tempat ketujuh untuk SUV segmen D walaupun telah dijual kurang daripada setengah tahun.
Tambah Xu, dengan menggunakan kejayaan pada tahun 2023 sebagai landasan, kedua-dua syarikat yakin untuk mencapai lebih daripada 1,000 unit untuk pasaran Brunei pada tahun 2024.
“Kunci untuk mencapai matlamat itu adalah pelancaran Proton S70 serba baharu yang dijangka berlaku sebelum hujung Februari.
“Untuk 2024, kami yakin dapat mencapai lebih banyak pertumbuhan di Brunei dengan minat yang berterusan terhadap Proton X50 dan model lain serta pengenalan Proton S70, kami menyasarkan untuk menembusi halangan 1,000 unit,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE