fbpx

Aishah kesal pengusaha produk manipulasi pelanggan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AISHAH

KUALA LUMPUR – Penyanyi Aishah meluahkan kekesalan terhadap syarikat produk pelangsingan badan yang hanya pandai mengaut keuntungan dengan cara penipuan.

Menurut pelantun lagu Janji Manismu itu, kebanyakan duta produk yang dilantik telah menjalani pembedahan pintasan usus (bariatrik) bukan kerana kesan pengambilan produk seperti yang didakwa.

“Saya rasa sedih apabila ada syarikat produk-produk kuruskan badan yang menggunakan duta yang sebenarnya telah kurus kerana pembedahan bariatrik bukan kerana keberkesanan produk mereka.

“Allahuakbar, hentikan penipuan ini! Ini bukan tindakan yang betul. Pihak berkuasa pantaulah produk-produk begini.

“Kasihanlah mereka yang berjuang dengan berat badan dan ditipu dengan produk-produk yang mendakwa penurunan berat badan duta mereka adalah kesan daripada produk mereka. Ini satu penipuan,” katanya.

Sementara itu, Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 55, mengakui  mengambil masa selama dua tahun untuk menurunkan berat badan selepas menjalani pembedahan bariatrik.

AISHAH mengakui telah menjalani pembedahan bariatrik dua tahun lalu untuk melancarkan usahanya menurunkan berat badan.

“Beberapa hari ini saya banyak tertengok gambar lama semasa bertanding dalam Gegar Vaganza musim keempat. Muka macam bulan mengambang, pipi pauh sebesar padang. Perjalanan penurunan berat badan satu cabaran walaupun dengan menjalani pembedahan bariatrik bersama Doktor Mustafa.

“Hanya orang yang pernah sampai tahap obesiti morbid sahaja tahu cabaran kehidupan apabila saiz badan berlebihan ini. Sakit kaki, penyakit-penyakit lain, kecewa dengan ‘body shaming’ dan kualiti hidup yang agak terhad apabila badan kita bersaiz itu.

“Dua tahun selepas pembedahan, saya dapat turunkan berat badan sebanyak 33 kilogram dan masih berusaha untuk sampai ke berat sasaran. Payah kita sahaja nampak, sakit kita sahaja yang tahu,” tulisnya dalam Instagram.

Untuk rekod, Aishah menjalani pembedahan bariatrik pada 2018 selepas mendapatkan nasihat dan rujukan daripada pakar kesihatan.

Semalam, seorang gadis yang mempunyai berat badan berlebihan, Nurul Airawani Nazira Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Wani Chomel, 23, mengadakan sidang akhbar mendakwa dirinya ditipu seorang jutawan kosmetik berhubung kontrak sebagai duta sebuah produk pelangsingan badan.

Wani yang mempunyai masalah berat badan yang mencecah sehingga 300 kilogram itu membuat pendedahan tidak mendapat manfaat daripada kontrak tersebut malah, wang untuk rawatan selepas menjalani pembedahan bariatrik yang dijanjikan juga tidak ditunaikan. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI