SUNGAI PETANI – Seorang pemandu sempat menyelamatkan diri selepas menyedari kereta jenis Mercedes-Benz dipandunya terbakar dalam kejadian di Jalan Laguna, Kampung Pulau Tiga, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya, Penolong Penguasa Bomba Azahari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 12.24 tengah hari tadi.
“Berdasarkan maklumat awal, kebakaran melibatkan sebuah kereta Mercedes-Benz yang terbakar hampir 80 peratus. Tindakan memadamkan kebakaran dilakukan dan operasi tamat pada pukul 1.04 tengah hari tadi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, mangsa dilaporkan selamat apabila sempat keluar dari kereta sebelum kebakaran merebak. – KOSMO! ONLINE