KUALA LUMPUR — Keyakinan diri membuak-buak menyanyi di sebalik topeng tanpa dikenali ramai, penyanyi Nabila Razali mengakui pentas The Masked Singer Malaysia musim keempat (TMSM4) merupakan tempatnya menonjolkan alter ego (pesonaliti kedua).
Ujar Nabila atau nama lengkapnya, Nur Nabila Mohd. Razali, 32, perbezaan identiti mendorongnya berani keluar dari zon selesa dengan menyanyikan lagu pelbagai genre.
“Kalau sebelum ini saya menyanyi genre lagu sama tetapi kali ini saya dapat menari, boleh ‘gedik’ atas pentas dan lakukan perkara yang saya tak pernah buat.
“Saya memang lebih yakin dan mudah menonjolkan sisi saya yang berbeza tanpa rasa dihakimi khalayak.
“Peminat selalu ingat saya seorang ‘sweet girl’, jadi di sebalik maskot ini saya dapat teroka sisi lain Nabila Razali,” katanya kepada Kosmo! Online.
Malah pelantun lagu Peluang Kedua itu bersyukur kerana khalayak mula membuka mata dengan kemampuan vokal dimiliki terutana menyampaikan lagu bernada tinggi.
“Saya rasa selama ini saya tidak berpeluang mempamerkan kemampuan diri, tetapi mungkin kadang-kadang bila sudah ada peluang saya buat silap pula. Perkara ini di luar jangkaan.
“Saya mahu beri kredit kepada guru vokal saya iaitu Shafiq Erwin yang membentuk saya untuk menjadi lebih baik. Saya tidak cakap saya sudah bagus, banyak lagi saya perlu belajar.
“Setiap minggu adalah cabaran untuk saya menyakinkan penonton dan mampu memberikan persembahan dengan baik,” ujarnya selepas konsert akhir TMSM4.
Nabila berjaya menduduki tempat kelima dalam TMSM4, manakala penyanyi Stacy Anam muncul sebagai juara.
Pelawak Namie (Mat Helang) mendapat tempat kedua, Danial Zain (Sang Kancil) di tempat ketiga dan Adinda (Biskut Aiskrim) berada di kedudukan keempat. – KOSMO! ONLINE