fbpx

Tangani secara kekeluargaan – Annuar Musa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Annuar Musa.

PETALING JAYA – Proses pertukaran Menteri Besar Perak diharapkan dapat ditangani menerusi semangat Muafakat Nasional (MN) dan keluarga Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, susulan isu tersebut, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah berada di Perak bagi melakukan perjumpaan bersama Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak bagi mendapatkan penjelasan.

Oleh itu, katanya, tidak banyak perkara yang dapat diulas memandangkan proses perbincangan sedang diteruskan oleh Presiden parti.

“Sudah pasti apabila ia berlaku, spekulasi timbul dan ia perlu diuruskan agar tidak menimbulkan ketidakstabilan serta menimbulkan perpecahan.

“Apabila ada isu politik berlaku, akan ada keresahan dan spekulasi berlaku dan pimpinan perlu uruskannya dengan baik,” katanya ketika sidang akhbar selepas menghadiri Program MyFood@mendekati masyarakat miskin di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Lembah Pantai, Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agong Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang menegaskan bahawa Pas tidak mahu menyertai penubuhan baharu kerajaan negeri, jelas Annuar, itu adalah reaksi normal.

“Bukan saja Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga difahamkan akan memberi reaksi yang sama sekiranya berlaku keterlibatan DAP dan PKR misalnya.

“Jadi tidak mengapa. Saya fikir setiap parti memberi reaksi awal masing-masing dan ia baru berlaku semalam dan kenyataan itu juga dikeluarkan semalam.

“Selepas ini pemimpin parti perlu duduk bersama bagi menguruskan keadaan. Saya ingin katakan itu bukan masalah nasional, tetapi ia merupakan masalah setempat dan terkait dengan batang tubuh mantan Menteri Besar Perak itu sendiri,” katanya.

Dalam sidang DUN Perak semalam, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal memperoleh sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya yang dikemukakan oleh Datuk Abdul Manaf Hashim (BN-Pengkalan Bharu).

Daripada 59 ADUN, 10 menyokong usul berkenaan manakala 48 lagi membantah dan satu undi rosak dalam undi belah bahagian yang ditetapkan Speaker, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI