JOHOR BAHRU – Kesempitan hidup dan bergelar seorang ibu tunggal tidak membataskan tanggungjawab seorang adik perempuan untuk menjaga dua abang kandungnya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) selepas ibu bapa mereka meninggal dunia.
Meskipun sibuk dengan tugasan harian dan menjaga anak, Seri Haryani Mohd. Subari, 33, bersama adik-beradik lain tidak meninggalkan tanggungjawab mereka untuk menguruskan Selamat, 39, dan Hamdani, 37, yang merupakan OKU kategori Sindrom down.
“Sebelum ini mereka tinggal bersama orang tua kami, namun selepas ibu meninggal pada tahun 2021, saya ambil amanah untuk jaga mereka. Bapa pula meninggal dunia pada 2014.
“Selain jaga dua abang kandung, saya juga perlu menguruskan seorang anak berusia lima tahun selepas bercerai dengan suami,” katanya ketika ditemui di Kampung Sri Bahagia Plentong di sini baru-baru ini.
Menurut Seri Haryani, dia yang mempunyai 11 beradik akan menjaga dua abangnya secara bergilir-gilir mengikut kesesuaian dan kelapangan.
Seri Haryani merupakan anak bongsu daripada 11 beradik, manakala Selamat anak ke-9 dan Hamdani pula anak ke-10.
Seri Haryani berkata, dia bersyukur kerana masih diberikan rezeki dengan bekerja sebagai pembantu kedai makan.
Tambahnya, dua abangnya itu akan dijaga oleh adik-beradik yang lain ketika dia keluar bekerja, manakala anaknya pula akan dijaga oleh seorang kakak.
“Mujur abang dan kakak ada tinggal berdekatan dan ia banyak membantu ketika saya keluar bekerja” jelasnya.
Sementara itu, kesempitan hidup yang dilalui Seri Haryani mendapat perhatian Kelab 4×4 Universal Malaysia (UCM) yang hadir menyampaikan bantuan melalui Program Amal Ziarah Kasih.
Presiden UCM Harraz Faiz Ibrahim berkata, kunjungan sambil menyampaikan bantuan kepada kedua beradik OKU ini diharap dapat mengurangkan bebanan ditanggung oleh mereka.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh ke akaun Maybank Seri Haryani 151258397876.