PETALING JAYA – Polis memburu enam lelaki yang mengganggu ketenteraman awam dalam satu insiden yang berlaku di Jalan Metro Perdanan Taman Usahawan, Kepong semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun dan telah membuat laporan polis susulan kejadian tersebut.
“Pada pukul 9.50 malam semalam, pengadu bersama isteri sedang makan di sebuah restoran di Kepong, sebelum didatangi tiga orang lelaki dalam keadaan mabuk lalu memukul mangsa.
“Puncanya kerana mangsa yang memandu kereta jenis Honda telah ‘double park’ kereta jenis BMW yang dinaiki ketiga-tiga individu terbabit,” katanya dalamm satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas beliau, mangsa telah dicekik oleh salah seorang dari individu tersebut manakala rakannya telah memanggil tiga lagi individu lain.
“Ekoran kejadian tersebut, mangsa telah beredar dan masuk ke dalam keretanya dan didatangi individu yang memegang pengunci stereng seperti mahu memukulmya.
“Dalam keadaan kelam-kabut, mangsa telah melanggar sebuah kereta lain sebelum beredar,” ujarnya.
Menurutnya lagi, suspek kini telah dikenalpasti dan akan ditangkap secepat mungkin.
Semalam, tular satu video yang dimuatnaik di laman Facebook Kes Jenayah Malaysia memaparkan kekecohan melibatkan beberapa individu yang berpunca daripada kesalahan meletak kenderaan.-K!ONLINE