TEMERLOH – Tergamak seorang lelaki memukul ibu serta anak saudara perempuannya yang datang untuk membantu membersihkan rumah didiaminya di Taman Rimba Mentakab di sini semalam.
Kejadian menyebabkan mangsa yang berumur 77 tahun bengkak di bahagian muka, manakala mangsa berumur 31 tahun mengalami kecederaan pada tangan dan lengan sebelah kanan serta sakit pada bahu sebelah kanan dan bengkak pada belakang kepala.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu bermula apabila mangsa berumur 31 tahun yang datang membersihkan rumah milik neneknya dihalau oleh suspek yang turut memukul mangsa menggunakan penyapu.
“Semasa berada di hadapan rumah neneknya, sekali lagi bapa saudara mangsa telah memukulnya dengan topi keledar pada bahagian belakang kepala dan badan.
“Melihat pengadu dipukul, nenek mangsa telah memukul suspek dengan penyapu sebelum suspek merentap penyapu berkenaan dan memukul bahagian muka nenek mangsa dengan penyapu.
“Bapa saudara mangsa kemudiannya telah memukul mangsa sekali lagi dengan penyapu dan melarikan diri menaiki motosikal,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mazlan, kedua-dua mangsa telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.
Katanya, polis telah berjaya menahan suspek hari ini dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Katanya berdasarkan siasatan awal pengadu yang bekerja sebagai pembantu kedai di Kuala Lumpur pulang ke Mentakab untuk bercuti sempena Tahun Baharu Cina sejak 1 Februari lalu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE