KOTA BHARU – Projek meluaskan sistem longkang di beberapa kawasan di sini akan dijalankan dengan segera sebagai langkah untuk mengurangkan kejadian banjir termenung.
Menteri Alam Sekitar Dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya telah mengenal pasti tiga lokasi di Pasir Tumboh di sini yang mengalami masalah itu sekiranya berlaku hujan yang tidak berterusan sejak seminggu lalu.
Katanya, dengan pembesaran longkang di kawasan berkenaan, ia sekali gus dapat mengurangkan masalah yang dihadapi penduduk terutamanya ketika musim banjir.
“Saya dapati masalah yang dihadapi oleh penduduk ialah masalah longkang yang tidak diselenggara dengan baik sehingga menyebabkan berlakunya banjir termenung apabila hujan berterusan.
“Air tidak dapat mengalir kerana tiada sistem perparitan yang sudah tertimbus selepas pembinaan rumah di kawasan berkenaan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan di Perumahan Taman Desa Wangi, Pasir Tumboh di sini hari ini.
Tuan Ibrahim yang juga merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, sistem perparitan tertimbus apabila penduduk membuat rumah dengan menambun tanah sehingga menyebabkan longkang sedia ada tertutup.
Beliau berkata, penyelarasan yang baik perlu dijalankan agar longkang utama tidak tertutup sekali gus dapat mengelakkan masalah itu berlaku di kawasan lain.
“Saya akan bincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dan daerah untuk mencari jalan penyelesaian.
“Bagaimanapun, terdapat sesetengah tempat yang memerlukan kajian dengan lebih lanjut,” katanya.-K!ONLINE