LIPIS – Anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang terperangkap dalam kereta terkunci di hadapan sebuah pasar raya di sini semalam.
Ketua Balai Bomba Kuala Lipis, Haslizan Ramli berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lipis menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.09 petang mengenai kejadian itu.
“Seramai enam orang anggota dari BBP Lipis berkejar ke lokasi kejadian dan setibanya di sana, seorang kanak-kanak didapati terperangkap dalam sebuah kereta jenis Proton Saga.
“Anggota bomba mendapati seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun tertidur di dalam sebuah kereta yang enjin tidak dimatikan dan terkunci dari dalam dipercayai penjaganya keluar berbelanja di premis berdekatan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Haslizan, usaha mengejutkan kanak-kanak berkenaan gagal dan anggota bomba terus bertindak melakukan penugasan membuka pintu kereta dengan menggunakan peralatan khas.
Jelasnya mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dalam pada itu Haslizan menasihatkan ibu bapa atau penjaga supaya berhati-hati dan tidak meninggalkan anak di dalam kereta terutamanya ketika enjin dihidupkan dan keadaan cuaca panas .
“Pastikan juga ekzos kenderaan tidak berlaku kebocoran yang menyebabkan asap boleh memenuhi ruang dalam kenderaan sehingga mengundang risiko keselamatan orang yang berada di dalam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE