KUALA LUMPUR – Kira-kira 2,000 anak perantauan Pahang menyertai Larian Tok Gajah Kuala Lumpur di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pagi tadi.
Acara larian yang mendapat kerjasama daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kuala Lumpur Car Free Morning (KLCFM) itu bermula kira-kira pukul 7 pagi melibatkan jarak antara lima dan tujuh kilometer mengelilingi di ibu kota.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, acara larian tersebut adalah pertama kali diadakan di luar negeri Pahang dan ia telah mendapat sambutan baik daripada anak perantau Pahang.
“Hampir 2,000 anak-anak perantau Pahang menyertai larian pada pagi ini. Dengan adanya Larian Tok Gajah seperti ini ia dapat mengeratkan hubungan silaturahim anak- anak Pahang yang berada di luar Pahang.
“Saya percaya ini bukan yang pertama dan juga bukan yang terakhir. Kita akan buat dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui selepas pada sidang akhar selepas merasmkian Larian Tok Gajah Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, pemilihan Kuala Lumpur sebagai venue acara larian itu adalah kerana ramai anak perantau Pahang berada di ibu kota.
Katanya, lebih 92,000 anak-anak Pahang menetap dan berkerja di sekitar Lembah Klang ketika ini.
“Program ini juga sebahagian daripada aktiviti yang telah dirancang oleh Sekretariat Perantau Anak Pahang yang telah ditubuhkan pada 5 Januari lalu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE