fbpx

Bayar RM6,000 sebulan bina kampung PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian PATI yang ditahan dalam operasi di bekas ladang kelapa sawit di Setia Alam, Shah Alam awal pagi tadi. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

SHAH ALAM – Sekumpulan warga asing berkongsi bayaran RM6,000 sebulan bagi membolehkan mereka membuka perkampungan haram di bekas ladang kelapa sawit sejak empat tahun lalu di Setia Alam di sini.

Penempatan haram seluas 0.6 hektar yang rata-ratanya didiami bangsa Flores dan Madura tersebut turut dilengkapi kemudahan elektrik, surau, warung makanan serta kedai runcit dengan kemudahan air diperoleh daripada bukit dan menggali perigi.

Perkampungan tersebut juga ditutupi dengan zink sekeliling di jalan utama bagi mengelakkan sebarang aktiviti dikesan pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, perkara tersebut terbongkar hasil serbuan bermula pukul 2.38 pagi susulan aduan orang ramai terhadap kehadiran warga asing di lokasi tersebut.

Katanya, hasil serbuan menahan 132 pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada 156 individu yang diperiksa dalam operasi yang turut disertai Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara dan Majlis Bandaraya Shah Alam.

“Daripada jumlah tersebut, 130 adalah warga Indonesia dan bakinya dua warga Bangladesh.

“Mereka terdiri daripada 78 lelaki, 41 perempuan dan selebihnya adalah kanak-kanak termasuk bayi berusia sembilan bulan hingga 60 tahun,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian awal pagi tadi.

Sebahagian PATI yang ditahan dalam operasi di bekas ladang kelapa sawit di Setia Alam, Shah Alam awal pagi tadi. -Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

Beliau memberitahu, rata-rata PATI yang ditahan bekerja sebagai tukang cuci, buruh binaan, pekerja kantin dan restoran di kawasan berhampiran perkampungan haram itu.

Jafri menambah, siasatan mendapati perkampungan itu mempunyai ketua kampung yang bertugas menjaga hal ehwal lokasi tersebut termasuk mengutip bayaran bulanan yang dikenakan tuan tanah.

“Perkampungan PATI itu dibahagikan kepada tiga bahagian dengan setiap bahagian dikenakan bayaran sehingga RM2,000.

“Ketua kampung pula dipilih dalam kalangan mereka yang telah ‘senior’ atau lama berada di penempatan haram tersebut,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan pihaknya akan melakukan semakan dengan Pejabat Tanah dan Daerah bagi mengenal pasti siapa pemilik tanah yang telah melindungi PATI ini.

“Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 55 (E) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 12 tahun atau denda sehingga RM30,000 atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI.

“Sehubungan itu, kita mengingatkan orang ramai termasuk majikan agar tidak menggaji atau membenarkan PATI berada dalam premis mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan kesemua PATI akan dibawa ke Jabatan Imigresen Selangor untuk tindakan selanjutnya termasuk reman selama 14 hari mengikut Seksyen 51 (5) (b) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam perkembangan sama, Jafri menjelaskan, seramai 11,731 PATI telah ditangkap di seluruh negara sepanjang tempoh 1 Januari hingga 15 Februari lalu.

“Daripada jumlah tersebut, 6,036 PATI telah ditahan menerusi operasi sama ada tidak mempunyai pas sah, tinggal lebih masa, langgar syarat sah pas atau pas palsu. Selebihnya ditangkap di pintu masuk atau serahan.

“Kita turut berjaya menahan 111 majikan dengan 58 daripadanya bertindak melindungi PATI. Bagi tempoh sama juga 5,131 PATI pelbagai negara telah dihantar pulang dengan seramai 12,222 PATI masih berada di depot Imigresen dan 752 PATI di depot sementara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI