fbpx

BATC 2024: Malaysia selangkah pertahan gelaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SZE FEI (kiri) dan Izzuddin meraikan kejayaan selepas menghadiahkan mata kemenangan ketika membantu Malaysia menewaskan Jepun 3-1 di separuh akhir BATC 2024 sebentar tadi. - AMIR KHALID

SHAH ALAM – Skuad badminton lelaki negara semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan apabila melangkah ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, Selangor.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) sebentar tadi, Malaysia memastikan tempat ke pentas final selepas menyingkirkan Jepun menerusi kemenangan 3-1.

Malaysia memulakan perlawanan dengan langkah kanan apabila perseorangan lelaki, Lee Zii Jia tidak berdepan banyak masalah untuk menghadiahkan mata pertama pasukan negara selepas menang 21-18, 21-15.

Keyakinan Malaysia untuk melangkah ke perlawanan akhir makin bertambah apabila beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meletakkan pasukan 2-0 di depan selepas menewaskan Akira Koga-Taichi Saito 15-21, 21-17, 21-10.

Bagaimanapun, Jepun kembali merapatkan kedudukan 2-1 menerusi perseorangan kedua, Koki Watanabe yang dipaksa bermandi peluh sebelum menang dalam aksi tiga set 19-21, 21-12, 21-19 ke atas Leong Jun Hao.

Beregu kedua kebangsaan, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjadi wira Malaysia apabila menghadiahkan mata kemenangan pasukan negara apabila menewaskan Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura 21-15, 21-19.

KEJAYAAN melangkah ke perlawanan akhir BATC 2024 dianggap sebagai hadiah hari lahir terbaik buat Wooi Yik (kanan). – AMIR KHALID

Tambah manis, kemenangan itu pastinya menjadi hadiah paling bermakna buat Wooi Yik yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-26 hari ini.

“Selepas kalah set pertama (hari ini), saya teringat semula aksi dua tahun lalu. Semangat kembali membara kerana rasa tidak boleh kalah seperti itu lagi kerana ia turut berlaku di hari kelahiran saya,” kata Wooi Yik.

Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik tewas 21-23, 16-21 kepada Ayato Endo-Yuta Takei dalam aksi peringkat kumpulan dua tahun lalu meskipun Malaysia menang 3-2 pada perlawanan tersebut.

Menanti Malaysia di perlawanan akhir esok adalah China yang menewaskan Korea Selatan 3-2 dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI