PETALING JAYA – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan masalah yang melanda ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong sebenarnya mampu diselesaikan kerana ia bukan membabitkan campur tangan ‘entiti’ mahupun pihak ketiga.
Hannah yang melakukan pertemuan dengan penerjun Sarawak bersama Nur Dhabitah Sabri dan turut dihadiri Koordinator RTG, Datuk Stuart Ramalingam semalam tersebut mengakui hanya masalah komunikasi perlu diselesaikan antara atlet, jurulatih dan juga Persatuan Renang Malaysia (MAS).
“Seperti apa yang Pandelela jelaskan dalam Instagram pada hari ini, bila dia balik beliau ditanya oleh media dan dia beri jawapan yang tidak berunsurkan ada pihak ketiga atau entiti tetapi dia telah jelaskan kepada saya keadaan atlet yang telah pergi ke Doha.
“Ia bukan masalah campur tangan entiti atau pihak ketiga yang saya rasa adalah mereka perlu perbaiki komunikasi dalaman membabitkan atlet, jurulatih dan persatuan, itu yang sangat penting.
“Saya rasa ini adalah masalah yang kita boleh tangani. Saya akan jumpa persatuan untuk dengar cerita mereka pula dan kita akan pastikan kita cari jalan untuk perbaiki.
“Menerusi pertemuan itu, saya lihat ada banyak lagi ruang penambahbaikan tetapi pandangan semalam yang penting adalah semangat Pandelela dan Dhabitah adalah mereka masih nak teruskan usaha untuk mencuba.
“Semangat tidak putus asa ini adalah paling penting dalam atlet kita, walaupun mereka tidak layak ke Sukan Olimpik Paris tetapi mereka masih dalam Program Podium. Kita kena pastikan mereka diberi peluang untuk cuba lagi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Cabaran Lompat Tinggi ‘Leap To The Stars’ 2024 di sebuah pusat membeli belah di sini, hari ini.
Ketika ditanya mengenai nasib dua penerjun itu dalam program Road to Gold (RTG) selepas gagal layak ke Olimpik Paris, Hannah berkata, dia menyerahkan keputusan tersebut kepada jawatankuasa RTG.
“Walaupun nampak jelas tetapi keputusan itu saya tak boleh buat melalui sidang media ini, kita tunggu jawatankuasa RTG bermesyuarat bulan ini untuk buat satu keputusan.
“Kita jangan lupa, walaupun mereka tak layak ke Sukan Olimpik seperti yang saya nyatakan Pandelela dan Dhabitah mereka masih pemenang pingat untuk Sukan Asia dan mereka masih dalam program podium. -KOSMO! Online