TOKYO – Sebuah rakaman video menunjukkan seorang pekerja yang memakai sarung tangan, mengorek hidung sebelum dia menguli doh piza di sebuah restoran piza popular, lapor akhbar The Sun semalam.
Restoran piza di wilayah Hyogo itu segera menutup operasinya dan memohon maaf kepada pelanggan kerana perbuatan tidak sopan pekerja tersebut.
Klip video itu turut mengakibatkan ibu pejabat rangkaian restoran piza popular itu meminta maaf dan berjanji perbuatan sedemikian tidak akan berulang.
Suara ketawa seorang individu boleh didengari ketika dia melakukan rakaman video tersebut, baru-baru ini.
Permintaan maaf dibuat oleh rangkaian restoran piza tersebut di platform X hanya beberapa jam selepas video itu tular di media sosial.
Syarikat itu menjelaskan bahawa individu yang melakukan perbuatan itu ialah pekerja sambilan dan tindakan diambil terhadap dirinya. – AGENSI