JOHOR BAHRU – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah membuat pembayaran faedah kepada Orang Berinsurans (OB) termasuk tanggungan pencarum sebanyak RM5.73 bilion tahun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pembayaran faedah itu meningkat sebanyak 10.9 peratus berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan jumlah sebanyak RM5.1 bilion.
Menurutnya, prestasi kewangan berakhir tahun 2023 adalah yang terbaik sejak ia ditubuhkan pada 1971 dengan anggaran lebihan mencecah RM1.8 bilion.
“Kejayaan ini adalah didorong melalui hasil pendapatan caruman dan penguatkuasaan yang menyaksikan pertumbuhan positif sebanyak 14 peratus serta peningkatan pendapatan pelaburan kasar kepada 27 peratus dengan Return On Investment (ROl) melebihi enam peratus.
“la adalah hasil langkah proaktif Perkeso dalam meningkatkan perlindungan kepada pekerja di Malaysia antaranya penguatkuasaan peningkatan siling gaji yang diinsuranskan dan pindaan Akta Kerja 1955 berkaitan liputan bayaran kerja lebih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kesuma Madani Tahun Baharu Cina anjuran Perkeso di Hotel Double Tree, di sini kelmarin.
Dalam majlis itu, seramai 145 orang yang terdiri daripada 40 ibu tunggal, 90 anak yatim dan 15 penerima faedah dari seluruh Johor turut diberikan sumbangan berupa hamper, wang raya dengan jumlah keseluruhan bernilai RM164,696.
Dalam pada itu, Steven Sim berkata, Perkeso digalakkan untuk meneroka bentuk perlindungan baharu seperti perlindungan di luar kerja (no fault accident) serta memperkasa mutu tadbir mampan dan universal.
Ujarnya, prestasi kewangan yang baik dan ruang fiskal yang lebih dinamik membolehkan Perkeso untuk menampung pemerluasan faedah dan menyuntik pelaburan semula bagi tujuan penerapan pelbagai teknologi, demi manfaat dan capaian perkhidmatan dalam kalangan pencarum.
“Ini merupakan antara sebahagian kesan limpahan (spillover effect) daripada keutuhan kewangan dicatatkan Perkeso,” ujarnya.
Dalam majlis yang sama, Perkeso juga telah melancarkan modul tambahan aplikasi Prihatin dalam usaha memudahkan Orang Berinsurans (OB) berurusan dengan Perkeso.
Aplikasi Prihatin yang baharu ditambah baik itu membolehkan pengguna untuk menyemak dan memuat turun penyata caruman, pendaftaran Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS), pengiraan faedah, memperoleh informasi umum dan mengakses Sahabat Prihatin.
Aplikasi ini juga akan dikemas kini untuk tahun 2024 meliputi Rehab Navigator iaitu penghantaran barangan perubatan termasuk produk Lindung+ dan pasaran keselamatan sosial.
Portal Matrix Perkeso yang kini dikenali sebagai laman web Prihatin juga akan ditambah baik untuk memiliki fungsi yang sama melalui laman web.