JAKARTA – Sepasang suami isteri di wilayah Sumatera Selatan, Indonesia menyambut kelahiran seorang bayi lelaki pada Rabu lalu, lapor laman berita Suara.com.
Bayi dilahirkan pada hari pilihan raya umum Indonesia (Pemilu 2024) itu kemudian diberi nama M Prabowo Gibran.
Pasangan itu menamakan bayi mereka dengan menggabungkan nama calon Presiden dan Naib Presiden yang bertanding iaitu Prabowo Subianto serta Gibran Rakabuming Raka.
“Masyaallah, alhamdulillah, tak sangka viral macam ni,” tulis pengguna Facebook, Desi Puspitasari yang juga seorang bidan kampung.
Menurut Desi, dia membantu melahirkan bayi itu sekitar pukul 8.40 pagi (waktu tempatan).
Ketika Desi bersiap untuk pergi ke pusat mengundi di Kampung Celikah, pasangan itu datang ke pusat kesihatan kampung.
Wanita itu mengadu sakit perut dan menunjukkan tanda-tanda akan bersalin. Dia kemudian meminta bantuan rakannya untuk membantu wanita itu melahirkan anak. – AGENSI