LIPIS – Penduduk Pekan Benta dan beberapa perkampungan tradisional berdekatan kecewa dengan pencemaran air Sungai Lipis yang bertukar keruh dipercayai akibat perlombongan bijih besi.
Sungai terbabit sebelum ini menjadi sumber pengairan tanaman, ternakan ikan air tawar dan alternatif untuk keperluan harian penduduk tetapi kini dipenuhi keladak dan berwarna kemerah-merahan.
Difahamkan, pencemaran air sungai itu kerap berulang setiap tahun hingga menyebabkan habitat akuakultur terancam.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Azmi berkata, masalah tersebut dipercayai berpunca daripada aktiviti pembuangan sisa bijih besi dari hulu sungai.
“Petang semalam (Jumaat) air sungai tiba-tiba bertukar kemerah-merahan dan keladak lumpur akibat pembuangan sisa perlombongan yang mengakibatkan hidupan di sungai ini terancam.
“Penduduk menghadapi kesukaran untuk mendapatkan keperluan air jika terputus bekalan air bersih. Kami juga tidak dapat mengairi pertanian kerana dikhuatiri akan mengancam kesihatan dan impak terhadap tanaman,” katanya hari ini.
Azmi berkata, pihak berwajib perlu menyiasat punca pencemaran itu dan mengambil tindakan segera bagi mengelak masalah sama berulang.
Menurutnya, pengusaha projek di kawasan hulu dan pinggir sungai perlu mengambil kira keselesaan penduduk di samping pemuliharaan keceriaan serta kebersihan sungai selari dengan hasrat kerajaan negeri.
“Saya turut berpendapat agar kegiatan perlombongan di kawasan hulu sungai sepatutnya dikawal agar punca air berkenaan tidak tercemar.
” Ini kerana ia berkemungkinan memberi impak terhadap pemusnahan habitat ikan air tawar yang menjadi sumber komersial penduduk tempatan selain pemacu dalam sektor pelancongan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.