fbpx

Perceraian bukan penamat kehidupan – Mawar Rashid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAWAR RASHID

SEJAK November tahun lalu, nama si bunga yang satu ini, Mawar Rashid hangat membakar menjadi bualan dalam media sosial.

Bermula dengan isu tudung terbang diikuti perceraiannya dengan ahli perniagaan, Raf Yaakob semuanya berkecamuk seolah-olah itulah titik terendah dalam kehidupan wanita kelahiran Kelantan itu.

Puas ditebak segala faktor, namun sehingga punca perpisahannya dengan adik kepada cef selebriti Datuk Fazley Yaakob itu masih menjadi tanda tanya.

Kedua-dua mereka bersikap profesional apabila memilih menutup rapi kisah peribadi walaupun sudah berbulan-bulan dikatakan membawa haluan masing-masing.

Si bekas suami masih menafikan dakwaan berlaku sebarang kecurangan antara mereka sehingga membuatkan ikatan suci berakhir dengan perceraian.

Dari satu sisi lain, pemilik nama lengkap Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 29, itu pula selesa memilih mendiamkan diri dalam media sosial dan tidak melayani sebarang temu ramah media.

Dia hanya menikmati kehidupan sambil memuat naik aktiviti peribadinya yang dijalani bersama keluarga dan rakan-rakan.

Jauh di sudut hati Mawar pasti mahu bersuara untuk meleraikan persoalan yang sering bermain dalam fikiran orang ramai.

Atas alasan itu mungkin, ibu kepada tiga orang cahaya mata itu akhirnya berkongsi rasa mengenai perceraian yang menjadi punca permulaan sebuah kehidupan baharu baginya.

“Mungkin kita kena buka fikiran, perceraian bukan penamat kehidupan. Anggap itu babak hidup yang perlu ditutup.

“Perceraian juga bukan satu tragedi, sebaliknya kesengsaraan adalah jika anda hidup dalam rumah tangga yang tidak bahagia.

“Sekarang tiba masa untuk buka buku baharu dalam hidup saya. Orang takut nak umum perceraian, sebab masyarakat akan pandang negatif,” katanya kepada Pose baru-baru ini.

Memberat di jiwa namun bekas peserta Dewi Remaja 2014/2015 itu akur dengan keputusan yang dibuat secara bersama.

“Keputusan ini memerlukan kekuatan untuk bawa diri keluar dari sesuatu yang tidak layak.

“Malah, itu semua membuatkan saya bangga dengan diri sendiri.

“Bagaimana saya mengumpul kekuatan, menggali dalam mencari siapa diri saya yang sebenarnya.

“Apa yang berlaku, sebab dan akibat, biar hanya kami yang tahu,” lenturya tenang.

Mental stabil

Pernah mengakui turut mengalami gangguan mental, Mawar kini terlihat lebih bahagia menjalani kehidupan di samping anak-anak.

“Alhamdulillah, keadaan saya lebih baik dari sebelumnya. Saya gembira dan masih ingat lagi ketika jiwa sedang berperang dalam satu fasa yang melelahkan.

“Yang paling penting, jaga mental anda. Dapatkan rawatan dan pastikan kesihatan anda baik.

“Doktor juga maklumkan kesihatan mental saya dalam keadaan baik. Saya kembali memeluk diri sendiri dengan ‘suka cita’ dan bahagia,” jelasnya.

Jenuh dikecam, sokongan daripada keluarga dan sahabat telah menguatkan Mawar untuk bangkit daripada segala keperitan yang harus dilalui.

“Jujurnya, kita manusia memang memerlukan sokongan. Tuhan selalu ada, itu yang saya yakin tetapi dalam pada masa sama, saya bersyukur keluarga, sahabat sentiasa di sisi menjadi pendengar, pemujuk hati.

“Saya juga pesan kepada diri sendiri untuk tambah baik kualiti hidup dengan cara sendiri. Buat perkara yang menggembirakan dan menyihatkan mental serta fizikal.

“Fokus kepada apa yang penting dalam hidup. Apa yang berlaku semuanya, lebih baik disimpan sendiri kerana terlalu peribadi untuk dikongsi.

“Hanya doa yang baik-baik saya harapkan daripada kalian semua,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI