PETALING JAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menerima jemputan makan malam bersama Duta Besar Mesir ke Malaysia, Ragai Tawfik Said Nasr di kediamannya, semalam.
Ahmad Zahid berkata, undangan tersebut menyerlahkan keakraban hubungan diplomatik antara Malaysia dan Mesir serta membuka ruang pertukaran pandangan.
Menurutnya, pertemuan itu antara lain turut memberi peluang meningkatkan kerjasama ekonomi, kolaborasi pendidikan dan memperkukuhkan hubungan dua hala yang lebih erat.
“Kami juga sempat berbincang mengenai keadaan terkini di Gaza dan perancangan untuk penghantaran bantuan Ops Ihsan yang berikutnya melalui sempadan Rafah yang dijadualkan pada Mac ini.
“Semoga usaha murni ini dipermudahkan dan bantuan sampai kepada saudara-saudara kita yang terkesan akibat konflik peperangan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Justeru, Zahid berkata, beliau sempat bertukar cenderahati kenangan dan menyampaikan setinggi penghargaan kepada Ragai Tawfik atas layanan mesra yang diberikan.
“Berdoa agar ukhwah yang terjalin ini berkekalan serta menatijahkan kebaikan buat kedua negara untuk terus bekerjasama mencipta kejayaan dan memacu kemajuan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.