fbpx

18 mangsa kebocoran gas ammonia stabil – Dr. Dzulkefly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Dzulkefly

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan seramai 18 mangsa dikejarkan ke tiga buah hospital di Selangor susulan kes kebocoran gas ammonia di sebuah kilang di Shah Alam, Selangor petang semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kesemua mangsa kini berada dalam keadaan stabil dan bergejala ringan.

Beliau berkata, seramai 10 mangsa dirawat di Hospital Shah Alam, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) (lima) dan Hospital Sungai Buloh (tiga).

“Kesemua mangsa dilaporkan stabil dan 14 daripada mangsa hanya mengalami gejala ringan serta dirawat sebagai pesakit luar,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Hari Kanser Sedunia 2024, di Universiti Cyberjaya, hari ini.

Sementara itu, katanya, empat mangsa termasuk dua ibu mengandung dimasukkan ke wad untuk pemantauan rapi dan rawatan lanjut.

Dr. Dzulkefly berkata, dua ibu mengandung itu masing-masing dirawat di Hospital Shah Alam dan HTAR manakala, dua lagi mangsa lain di Hospital Sungai Buloh.

Dalam insiden di sebuah kilang di Jalan Keluli 1, Kawasan Perindustrian Bukit Raja, Seksyen 7, Shah Alam pagi semalam, 10 pekerja kilang dikejarkan ke hospital.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dilaporkan berkata, insiden berlaku apabila sebuah jentera pengangkat terlanggar injap yang kemudian mengakibatkan kebocoran gas ammonia itu.

Menurutnya, pihaknya mendapati jumlah mangsa yang mengalami sesak nafas akibat insiden itu adalah seramai 33 orang.

“Seramai 14 pekerja wanita dari kilang berkenaan dan 19 pekerja lelaki dari kilang bersebelahan mengalami sesak nafas,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI