fbpx

Bercerai adalah jalan terbaik – Adira Suhaimi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADIRA

PETALING JAYA – Penyanyi Adira Suhaimi tetap dengan keputusan untuk bercerai dengan suami, Datuk Seri Adnan atau Datuk Red.

Adira atau nama lengkapnya Siti Adira Suhaimi, 33, ketika ditemui Kosmo! Online berkata, dia melihat perceraian adalah jalan terbaik yang boleh diputuskan, walaupun percaya suaminya masih mahu menyelamatkan rumah tangga mereka.

“Buat masa sekarang, itu sahaja jalan yang saya nampak (bercerai). Saya percaya pihak suami mahu kami berbaik semula.

“Namun, jalan (penyelesaian) yang saya nampak adalah dengan berpisah (bercerai),” katanya kepada Kosmo! Online.

Pada masa sama, Adira turut melihat rumah tangga yang dibina bersama Datuk Red sejak sembilan tahun lalu, sudah tidak boleh lagi diselamatkan.

Walaupun rumah tangganya kini dalam fasa ‘retak menanti belah’, pelantun Pujaan Hati itu tetap berfikiran positif, malah enggan menunjukkan kesedihan di depan empat orang anaknya.

Kata Adira, apa yang dikongsikan dalam media sosial, adalah realiti dirinya yang sebenar apabila sentiasa ceria kerana mahu menjaga emosi anak-anaknya.

“Apa yang saya tunjukkan dalam media sosial, itulah keadaan diri saya yang sebenar. Saya tidak berpura-pura.

“Penting sebagai ibu kepada empat orang anak, untuk tunjuk yang baik-baik sahaja. Sebagai ibu, saya kena selalu positif untuk anak-anak.

“Kerana mahu tidak mahu, saya tidak boleh meletak jawatan sebagai ibu. Pada masa sama juga, saya tidak mahu ganggu emosi anak-anak yang masih kecil,” jelasnya.

Selain mengumpul kekuatan demi anak-anak, Adira yang ditemui semasa program Zumba With Nora Danish & Elisya Sandha di sini, hari ini turut menjadikan pengalaman silam, sebagai pengajaran untuk dirinya.

Kata Adira, dia memperoleh kekuatan untuk berdepan dengan ujian rumah tangga bukan baharu semalam, sebaliknya sejak dahulu lagi.

“Kekuatan yang saya ada bukan diperoleh sejak setahun dua lalu. Sebenarnya dalam dalam dengan macam-macam ujian dan pengalaman.

“Itu yang buatkan saya kuat sekarang. Pengalaman telah memberi saya pengajaran untuk menjadikan saya lebihg matang, tenang dan kuat,” katanya.

Untuk rekod, Adira memfailkan perceraian dengan suaminya pada 25 Oktober lalu selepas mendakwa tidak lagi wujud persefahaman dalam perkahwinan mereka.

Sebelum ini, Adira pernah memfailkan permohonan cerai terhadap Adnan di mahkamah sama pada 1 April 2019.

Bagaimanapun penyanyi berasal dari Sabah itu menarik semula permohonan dibuat bagi memberi peluang kedua kepada suami selain cuba berbaik demi anak-anak.

Permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat pada 18 Disember tahun lalu menetapkan 5 Mac ini bagi keputusan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dilantik Adira dan suaminya berhubung proses penceraian mereka.

Hakim Syarie, Abdul Hadi Umar menetapkan tarikh itu selepas prosiding perlantikan wakil JKP oleh Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, 42, telah selesai pada 18 Disember 2023. Dalam prosiding tersebut, Datuk Red melantik rakannya sebagai wakil JKP.

Manakala Adira, selaku plaintif telah selesai melantik kakaknya Emma Suhaimi bagi wakil JKP berkenaan.

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5 dan Ayob yang kini berusia 2 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI