fbpx

Menyelam di kolam terdalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR menunjukkan reka bentuk dan kedalaman kolam Deepspot di Mszczonow, Poland.

BARU-BARU ini, kolam renang terdalam di dunia yang terletak di bandar Mszczonow, Poland telah dibuka secara rasmi kepada orang ramai.

Kolam yang dikenali sebagai Deepspot itu mempunyai kedalaman 45 meter dengan isi padu airnya menyamai 27 buah kolam renang bersaiz Olimpik.

Deepspot yang boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat di Poland itu sangat sesuai digunakan sebagai pusat latihan menyelam apabila tidak dapat ke laut atau pulau ekoran pandemik Covid-19 yang sedang melanda dunia.

Kolam berkenaan juga boleh digunakan oleh penyelam skuba dan penyelam bebas yang sudah lama tidak melakukan aktiviti kegemaran mereka itu.

Deepspot direka khusus buat para penyelam kerana dilengkapi laluan khas dan lubang sempit seperti dalam filem Tomb Raider bagi memberi lebih keseronokan.

Bagi pengunjung yang tidak boleh berenang dan menyelam, terdapat sebuah terowong khas yang membolehkan mereka menikmati pemandangan dasar tanpa perlu basah.

Menariknya, kolam berkenaan turut dilengkapi pelbagai kemudahan umpama sebuah hotel mewah seperti bilik yang menghadap kolam, restoran dan bilik persidangan.

Pada hari pertama pembukaannya, lapan orang penyelam telah diberi kesempatan mencuba kolam Deepsport.

Salah seorang penyelam, Przemyslaw Kacprzak, 39, berkata, kolam tersebut adalah tempat terbaik untuk penyelam mempelajari selaman atau berlatih menyelam seperti di perairan terbuka.

“Tiada ikan atau terumbu karang yang luar biasa di sini. Biarpun ini bukan pengganti laut yang terbaik, namun sangat menyeronokkan. Kolam ini umpama sebuah tadika buat para penyelam,” katanya.

 

BEBERAPA individu dilihat meneroka kedalaman kolam sedalam 45 meter ini.

 

Sementara itu seorang lagi penyelam, Jerzy Nowacki memberitahu, ini satu pengalaman yang mengagumkan.

“Buat kali pertama kami dapat turun ke bawah untuk melihat keadaan dasar yang kosong sedangkan biasanya dipenuhi bangkai kapal dan gua apabila menyelam di laut,” katanya.

Dianggarkan 1,100 tan besi digunakan untuk membina struktur kolam berkenaan termasuk pembinaan blue hole untuk ke tempat paling dalam.

Pengarah Deepspot, Michal Braszcynki yang juga seorang penyelam mengesahkan bahawa kolam itu adalah pemegang Guinness World Records sebagai kolam terdalam di dunia.

Untuk makluman, rekod kolam renang terdalam di dunia sebelum ini dipegang oleh Y-40 di Montegrotto Terme, Itali dengan kedalaman 42 meter.

Kata Braszcynki, kolam Deepspot bukan sahaja boleh dimanfaatkan orang ramai, malah pasukan bomba dan tentera turut menggunakannya bagi menjalankan latihan.

“Terdapat banyak senario latihan boleh dipratikkan di sini selain menguji beberapa peralatan baharu,” jelasnya.

Deepspot dicipta oleh syarikat yang sama membina FlySpot iaitu simulator skydiving yang popular di Warsaw West County, Poland. Deepspot mempunyai 8,000 meter padu air iaitu bersamaan lebih 20 buah kolam renang berkedalaman 25 meter.

Bagaimanapun kolam yang mengagumkan itu dijangka akan memegang rekod sebagai kolam terdalam dunia selama enam bulan sahaja sebelum pembukaan Blue Abyss, Britain yang memiliki kedalaman 50 meter.

Blue Abyss bakal menjadi kemudahan latihan dan ujian laut dalam yang memungkinkan pembangunan selaman dalam persekitaran ekstrem baik bagi manusia mahupun robot.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI