TANAH MERAH – Seorang lelaki dipercayai penyeludup bertindak melarikan diri selepas kereta membawa muatan 10 tong berisi petrol yang dipandu terbakar di Jalan Tanah Merah-Jeli berdekatan Kampung Jedok, di sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi selepas beberapa penduduk terdengar bunyi dentuman dari kereta jenis Proton Persona di luar rumah mereka.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kemahang, Nor Azli Mat Hassan berkata, salah seorang remaja keluar dan mendapati kereta tersebut sedang terbakar kira-kira 30 meter dari rumahnya.
Seramai enam anggota bomba bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik sampai, pihak kami mendapati hampir 90 peratus kereta itu musnah dijilat api. Pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut membawa lebih 10 tong berisi petrol,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Nor Azli memberitahu, pemandu kereta bagaimanapun sudah melarikan diri sewaktu kejadian tersebut berlaku. – KOSMO! ONLINE