KUALA LUMPUR – Seorang bekas pensyarah berusia 61 tahun berputih mata apabila kerugian sebanyak RM1.43 juta selepas ditipu ‘scammer’ yang menyamar sebagai ‘pegawai’ Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kes tersebut dilaporkan di Kajang, Selangor pada awal bulan ini.
Menurut beliau, NSRC adalah pusat panggilan yang berperanan untuk menyelaras tindak balas pantas terhadap kes-kes penipuan kewangan dalam talian.
“Walau bagaimanapun ia telah dimanipulasi oleh sindiket penipuan dengan menyamar sebagai pegawai NSRC untuk memperdaya mangsa.
“NSRC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu. Ia berbentuk satu hala sahaja, justeru sebarang panggilan yang mengaku daripada NSRC adalah satu penipuan,” katanya pada sidang akhbar di ibu negara hari ini.
Terdahulu Ramli memaklumkan, pihaknya menerima sebanyak 18 laporan berhubung taktik penipuan itu sejak Januari sehingga 11 Februari lalu.
Jelas beliau, mangsa akan menerima panggilan daripada individu mendakwa pegawai NSRC dan memaklumkan telah membatalkan nombor telefon mangsa ekoran terdapat aduan nombor berkenaan menghantar pautan haram dan mesej penipuan.
“Panggilan kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis dan mangsa akan diarahkan mengikut segala arahan diberikan.
“Mangsa akhirnya diarahkan membuat pindahan wang ke satu akaun bank ditetapkan,” katanya.
Kata beliau, bagi mengoptimumkan usaha pembanterasan serta pencegahan jenayah penipuan dalam talian, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggesa mangsa terlibat untuk segera hubungi NSRC di talian 997.
“Sebaiknya panggilan hendaklah dibuat dalam tempoh kurang 24 jam agar mempunyai peluang lebih tinggi untuk membuat sekatan terhadap wang yang dipindahkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE