fbpx

Perlis indah tapi Rita Nadira berparut diserang pacat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RITA Nadira berkongsi keterujaan menjalani penggambaran di Perlis walaupun berdepan episod seram diserang pacat.

KUALA PERLIS – Sebelum Perlis yang kini menjadi tumpuan dek suasana alam bertukar menjadi keperang-perangan akibat kemarau, pelakon Rita Nadira sebenarnya telah lama jatuh cinta dengan keindahan negeri paling utara Semenanjung Malaysia itu sewaktu menjalani penggambaran drama Cinta Bersemi Di Wadi Safiyyah tahun lalu.

Rita atau nama sebenarnya Rita Nadira Mohd. Ritamurni, 26, lokasi pemggambaran yang dijalankan di Taman Negeri Perlis, Wang Kelian, Padang Besar itu, dianggap cukup mempesonakan dengan pemandangan alam yang sungguh indah.

“Pengalaman menjalani penggambaran di Perlis terutama di Taman Negeri Perlis, Wang Kelian sangat membuatkan saya teruja. Lokasinya begitu mendamaikan dan indah.

“Jarang saya dapat peluang untuk berlakon di tempat sebegitu. Tenang dan terasa dekat dengan alam,” katanya.

Rita yang ditemui ketika majlis tayangan episod akhir drama Cinta Bersemi Di Wadi Safiyyah di sini, malam tadi turut berkongsi pengalaman ‘menakutkan’ apabila terpaksa berdepan dengan kawasan yang dipenuhi pacat, selain liputan telefon yang sukar untuk dicapai.

“Tapi ada masalah lain pula. Kawasan tersbeut susah nak dapat ‘line’ telefon dan internet. Jadi susah saya untuk berkongsi apa-apa perkembangan di sana, selain terpaksa berdepan dengan cuaca hujan.

“Paling menakutkan saya, kawasan di sana banyak pacat. Kaki saya penuh dengan parut, kesan gigitan pacat.

“Seronoklah pacat-pacat itu hari-hari dapat ‘makan’ darah kami,” katanya sambil berseloroh.

Bagaimanapun, Rita menyifatkan pengalaman yang dialaminya itu sebagai sangat bermakna. Sebagai seorang pelakon, Rita beranggapan kejadian seumpama itu adalah ‘harga’ yang perlu dibayar untuk memberikan yang terbaik kepada penonton.

“Kalau orang tengok, pelakon sentiasa cantik dalam televisyen. Tapi banyak lagi perkara lain yang terpaksa kami lalui dan terjadi di belakang tabir.

“Apa-apa pun, saya sangat seronok apabila dapat berpeluang merasai pengalaman menjalani penggambaran di kawasan sebegitu,” ujarnya.

Selain Rita yang memegang watak sebagai Nur Dania Safuan dan Siti Aisyah (pasangan kembar), drama arahan pengarah Shuhaimi Zulkefli itu turut dibintangi pelakon Aniq Suhair yang memegang watak sebagai Ustaz Iqbal.

Drama Cinta Bersemi Di Wadi Safiyyah siaran slot Akasia TV3 sejak 9 Januari lalu itu turut menampilkan lakonan handalan Aidit Noh, Zamarul Hisyam dan Lydiawati. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI