fbpx

Takut skandal, Ezzanie Jasny jauhi hero suami orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
EZZANY Jasny mengehadkan komunikasi dengan hero gandingan, khususnya yang berstatus suami orang di luar waktu bekerja.

PETALING JAYA – Mengelak terjebak skandal atau cinta lokasi, pelakon Ezzanie Jasny mengambil pendekatan tidak menyimpan nombor telefon hero gandingannya dan mengehadkan komunikasi hanya di set penggambaran.

Pemilik nama lengkap Nur Ezzanie Sherazade Jasny, 25, berkata, dia juga tidak akan bermain mesej atau berjumpa di luar waktu bekerja kononnya untuk mendapatkan keserasian lakonan.

“Paling saya takut dikaitkan dengan cinta lokasi terutama membabitkan suami orang yang membuatkan saya sentiasa menjaga batas sepanjang bekerja.

“Memang tiada bermesej-mesej atas alasan ingin mendapatkan keserasian kerana semua latihan atau berkaitan kerja boleh dilakukan di lokasi penggambaran.

“Saya pun tak ada nak simpan nombor hero-hero saya memandangkan masing-masing boleh berurusan terus dengan syarikat produksi atau pengurus,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pelakon yang berpasangan dengan Shukri Yahaya dalam Layang Layang Perkahwinan itu turut mengakui takut dengan gelaran penyondol.

Katanya yang membawakan watak isteri dicurangi bagi drama bersiri berkenaan membuka hatinya untuk lebih memahami perasaan golongan isteri teraniaya walaupun belum mendirikan rumah tangga.

“Siapa nak jadi penyondol? Kalau boleh minta jauh perkara ini seban saya pun bukan individu yang sanggup menghancurkan ‘masjid’ atau suka mendekati suami orang.

“Macam dalam Layang Layang Perkahwinan, hero saya suami orang, tapi Shukri pun sama-sama faham serta kami saling menghormati antara satu sama lain,” ujarnya.

Sejak bergelar pelakon tambahan menerusi drama Cinta Nan Grata sekitar 2019, Ezzanie belum pernah dikaitkan dengan sebarang kontroversi.

Terbaharu, anak bongsu daripada empat bersaudara itu dikatakan menjalin cinta dengan anggota K-Clique, Noki, namun menegaskan antara mereka hanya teman biasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI