fbpx

Melecur ketika selamatkan motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba memberi rawatan awal kepada Rafi Hussin yang melecur sebelum dia dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.

KUALA KRAI – Bahagian belakang badan seorang lelaki melecur apabila dia cuba menyelamatkan motosikalnya yang hangus dalam kejadian kebakaran melibatkan dua buah rumah di Kampung Tengah di sini semalam.

Kejadian yang dilaporkan pada pukul 7.34 petang itu menyebabkan badan mangsa, Rafi Hussin, 29, melecur sebanyak 30 peratus.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata, seramai 19 orang anggota telah bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

Menurutnya, sewaktu tiba di lokasi, mangsa dilihat cuba menarik motosikal miliknya keluar dari kawasan kebakaran sebelum bahagian badannya disambar api.

“Anggota bomba telah membawa keluar mangsa dari lokasi kejadian dan memberikan rawatan awal sebelum dia dibawa ke hospital. Meskipun melecur, mangsa berjaya menyelamatkan motosikal miliknya.

“Dalam kejadian itu, kita mendapati dua buah rumah yang menjadi tempat tinggal dua keluarga hangus terbakar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Rizwan Ar-Rafee, rumah pertama terbakar sebanyak 90 peratus manakala rumah kedua pula 80 peratus musnah dalam kejadian itu.

Katanya, api berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya dalam tempoh 30 minit dan siasatan awal mendapati, kebakaran tercetus dari rumah pertama sebelum api merebak ke rumah jirannya.

“Operasi memadam kebakaran tamat pada pukul 9.30 malam. Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI