fbpx

Ambil serius aspek ‘rehat, senaman, diet’ tahun 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amalan tidur yang mencukupi, senaman dan pengambilan makanan seimbang dapat mencegah masalah-masalah kesihatan.

“KALAULAH saya tahu, saya akan melakukan sesuatu untuk mencegahnya.”

Itulah kata-kata atau tindak balas yang kita sering dengar setiap kali seseorang mendapat prognosis kesihatan yang kurang menggalakkan.

Sebenarnya, banyak masalah kesihatan mengambil masa bertahun-tahun untuk memburuk, tetapi kita sering mengabaikan gaya hidup lebih sihat.

Hal ini akan menyebabkan masalah kesihatan seperti obesiti, penyakit jantung, diabetes dan banyak lagi muncul.

Oleh itu, setiap daripada kita perlu melakukan perubahan dengan menjalani gaya hidup lebih sihat.

Bagi memulakan perubahan tersebut, Pakar Perubatan Keluarga Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr. Chow Suet Yin dan Pengarah Program Bahagian Pemakanan dan Dietetik IMU, Dr. Serene Tung, menyeru rakyat

Malaysia memandang serius tentang aspek ‘rehat, senaman dan diet’ dalam kehidupan.

Anggaplah ia sebagai amaran untuk mengambil langkah segera pada tahun 2024 ke arah penambahbaikan mudah tetapi bermakna kepada kesihatan menyeluruh.

Mengulas lanjut, Dr. Suet Yin berkata, sekiranya anda berbangga kerana mampu untuk terus bergerak walaupun tubuh badan mahukan rehat, eloklah berfikir dan merenung kembali kerana proses fisiologi yang penting sebenarnya berlangsung semasa tidur.

Menurutnya, anda sepatutnya menyasarkan sekurang-kurangnya tujuh jam masa untuk tidur pada waktu malam.

“Semasa tempoh tidur yang menyihatkan dan memulihkan itu, degupan jantung dan pernafasan anda menjadi semakin perlahan, sementara otot-otot badan sambung berehat.

“Tidur membolehkan penjanaan semula sel, pembaikan dan pertumbuhan tisu berlaku ketika sistem imun menguat secara semula jadi,” katanya.

Pada masa sama, Dr. Suet Yin juga menitipkan pesan agar semua orang meningkatkan rutin senaman masing-masing.

“Apabila memikirkan tentang senaman selepas seharian bekerja atau menjaga anak-anak kecil, anda mungkin merasa terbeban.

“Tetapi, fizikal yang tidak aktif dapat menimbulkan banyak kesan kesihatan.

“Ia akan meningkatkan risiko kanser, gangguan metabolik seperti diabetes, kolesterol tinggi dan hipertensi serta sakit lutut serta osteoporosis,” jelasnya.

Sebaliknya, bersenam dengan kerap dan teratur boleh memberikan kesan riak positif, merembeskan endorfin dan mengurangkan pengeluaran hormon terkait tekanan seperti kortisol.

Manfaatnya adalah dapat meningkatkan kualiti tidur dan menyokong kesihatan mental.

Senaman sederhana sehingga ke tahap serius turut merangsang imuniti selular, meningkatkan peredaran sel imun dalam badan dan membantu melawan jangkitan.

“Kita boleh memulakan dengan tindakan-tindakan mudah, berbanding mencari masa lapang untuk bersenam.

“Petuanya adalah mencari sesuatu yang menyeronokkan anda seperti berjalan-jalan pada waktu pagi, menari depan televisyen sambil menonton berita atau menaiki tangga dan bukannya lif.

“Bertukar-tukar masa penjagaan anak dengan rakan anda yang juga mempunyai anak kecil sangat membantu juga,” ujar Dr. Suet Yin.

Sementara itu, dalam aspek diet, Malaysia mempunyai pelbagai jenis makanan yang begitu sedap, mudah didapati dan sukar untuk ditolak.

Berbicara hal tersebut, Dr. Serene menjelaskan, bukan semua makanan adalah sama.

Menurutnya, kategori makanan adalah luas yang merangkumi hidangan lengkap dan sajian terproses.

“Sebagai contoh, gandum dan bijirin lain adalah makanan lengkap yang kemudiannya diproses menjadi tepung dan dibuat roti, mi dan pasta.

“Susu yang dipasteur pula membolehkan kita menikmati susu dan keju dengan selamat pada bila-bila masa yang kita mahukan.

“Dari segi sejarah, makanan diproses untuk mengelak daripada rosak dengan sedikit sahaja kesan kepada nilai nutrisinya,” terangnya.

Kemajuan sains makanan membolehkan kita mendapat pelbagai jenis sajian ultra proses atau hidangan yang tidak boleh dibuat di dapur rumah kita.

Ada yang tinggi kandungan gula, garam dan lemak, bahan-bahan tambahan serta pengawet untuk memanjangkan hayat simpanannya.

Malah, ada makanan diproses ini mengandungi nutrien tambahan bagi meningkatkan nilai nutrisinya.

Semua ini menjadikan ia sangat penting untuk kita menyemak label nutrisi sebelum membelinya.

Bagi memanfaatkan makanan anda dan mengurangkan kalori kosong, Dr. Serene menasihati supaya kita mengambil lebih makanan lengkap yang kebiasaannya lebih bernutrisi dan meminimumkan pengambilan hidangan diproses.

“Ikutilah saranan ‘Pinggan Sihat’ iaitu konsep ‘Suku Suku Separuh’ yang ringkas dan mudah.

“Isi separuh pinggan anda dengan buah-buahan dan sayur-sayuran, bersama suku hidangan protein dan suku sajian karbohidrat,” katanya.

Tambahnya, akhir sekali, jangan sesekali memandang rendah kepentingan penghidratan dan minumlah banyak air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI