fbpx

Masyarakat Cina, India dijemput sertai Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar.

KUALA LUMPUR – Masyarakat Cina dan India dijemput untuk menyertai Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang dijadual berlangsung pada 29 Februari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, undangan tersebut adalah bagi memberi peluang kepada kaum Cina dan India menyuarakan pandangan dan cadangan mengenai masalah dihadapi mereka.

Bagaimanapun, Anwar berkata, kongres tersebut masih menekankan isu dihadapi oleh bumiputera, namun membawa pendekatan yang lebih inklusif.

“Jadi, kita mahu penyertaan daripada rakan-rakan kita masyarakat Cina dan India. Saya harap Gabungan Dewan Perniagaan dan Dewan Perindustrian Cina Malaysia (ACCIM) bersedia berbincang.

“Maknanya dalam membicarakan ekonomi bumiputera, ada isu-isu SME (Perusahaan Kecil dan Sederhana) atau kelompok India miskin akan kita tangani bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 ACCIM di Hotel Shangri-La di sini, hari ini.

Anwar berkata, sebelum ini, usaha kerajaan menangani isu sekolah daif dan pembasmian kemiskinan tegar tidak berasaskan kaum tertentu semata-mata.

Menurut beliau, hampir 100 peratus isu kemiskinan tegar di Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan diselesaikan dengan tidak mempersoalkan keluarga yang dibantu sama ada daripada Melayu, Cina atau India.

“Begitu juga kalau kita bercakap peluang perniagaan terutama peniaga kecil bumiputera, peluang bagi orang India atau pemain-pemain kecil masyarakat Cina, tempat perniagaan, gerai mereka, kita harus tumpu sebagai program dan agenda nasional.

“Minggu depan saya akan undang pemimpin-pemimpin daripada dewan perniagaan Melayu, Cina serta India untuk bersama memberi pandangan supaya kongres ini tidak dianggap eksklusif,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI