fbpx

Bekas pengarah syarikat beras didakwa kemuka tuntutan palsu lebih RM 8.9 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fikri (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini. Foto oleh Fariz Rosadio/Kosmo!

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengarah sebuah syarikat beras didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 28 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berhubung pembiayaan pembelian beras kepada sebuah bank berjumlah lebih RM8.9 juta lima tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Fikri Abu Bakar, 58, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut 28 pertuduhan utama Fikri didakwa sebagai Pengarah Fikri Rice Sdn. Bhd. melalui seorang individu yang merupakan eksekutif operasi syarikat sama telah memberikan 28 invois yang kesemuanya berjumlah RM8.9 juta bagi menuntut kemudahan pembiayaan Trade Working Capital Financing Islamic (TWCF-i) untuk pembiayaan pembelian beras kepada ejen Agrobank Berhad yang mana kesemua dokumen itu adalah palsu sedangkan tiada pembelian beras dibuat oleh Fikri Rice Sdn. Bhd.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Wisma Maran di sini antara 18 November 2019 hingga 16 Januari 2020.

Bagi 28 pertuduhan utama itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 24(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding sama, tertuduh juga didakwa dan turut mengaku tidak bersalah atas 28 pertuduhan pilihan berkaitan perkara sama iaitu telah menggunakan sebagai tulen 28 Invois yang tertuduh ketahui ia dokumen palsu pada tempat dan tarikh yang sama.

Bagi 28 pertuduhan pilihan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum dibawah seksyen 465 Kanun yang sama yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fadhly Mohd. Zamry tidak menawarkan jaminan dengan alasan kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun pihak pendakwaan memaklumkan sekiranya mahkamah ini menggunakan budi bicara untuk memberikan ikat jamin, pihak pendakwaan mencadangan jaminan RM200,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan tersebut.

“Pihak pendakwaan turut mencadangkan syarat tambahan, tertuduh melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Putrajaya serta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga dan merupakan pesakit diabetes.

“Oleh itu kami memohon supaya mahkamah menberikan jaminan RM50,000. Pihak pembelaan juga tidak membantah dengan syarat-syarat tambahan ditetapkan pendakwaan,” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dipohon pendakwaan.

Tarikh 25 Mac ini ditetapkan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI