GEORGE TOWN – Kapasiti efektif Empangan Air Itam di sini kekal pada paras 32.4 peratus sejak 10 hari lalu susulan langkah-langkah yang dilaksanakan bagi mengurangkan pengeluaran air dari empangan berkenaan.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pelan tindakan mengurangkan pengekstrakan air dari Empangan Air Itam sedang dilaksanakan memandangkan air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua kini disalurkan kepada pengguna di kawasan terbabit.
”Empangan Air Itam mampu bertahan sehingga 32 hari lagi dan paras air di empangan ini kekal sama sejak 10 hari lalu kerana kita laksanakan pelan untuk mengurangkan pengekstrakan air dari empangan tersebut.
”Pelan tindakan yang dilaksanakan ini berkesan kerana kapasiti empangan kekal sama,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kapasiti efektif Empangan Air Itam menurun mendadak susulan cuaca panas dan pengeluaran air dari empangan itu yang tinggi.
Susulan itu, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memulakan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) bagi memastikan bekalan air kepada pengguna sentiasa mencukupi.
Menurut Kon Yeow, pada masa ini PBAPP menggunakan teknologi kejuruteraan bagi memastikan semua kawasan di negeri ini mendapat bekalan air yang mencukupi. -KOSMO! ONLINE