PETALING JAYA – Seramai 18,792 guru baharu telah dilantik sepanjang tahun lalu bagi memastikan isu kekurangan guru di sekolah-sekolah seluruh negara dapat diatasi.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan akhbar berkata, pelantikan itu melibatkan 9,155 guru baharu ditempatkan di sekolah rendah dan 9,637 guru baharu ditempatkan di sekolah menengah.
“Lonjakan penambahan bilangan guru ini adalah komitmen besar Kerajaan Madani dalam memperkukuh agenda reformasi pendidikan dan memartabatkan kualiti pendidikan negara,” kata kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, KPM memaklumkan sentiasa bekerjasama erat dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk memastikan isu kekurangan guru di sekolah-sekolah seluruh negara dapat diatasi.
Menurut KPM, sinergi kerjasama strategik kedua-dua pihak cukup signifikan dalam memastikan unjuran guru memenuhi keperluan semasa.
Jelas KPM, pengambilan seramai 6,315 graduan bukan pendidikan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara Contract of Service (COS) seperti yang diumumkan SPP minggu lalu adalah cerminan komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan unjuran keperluan dan penempatan guru di sekolah dipenuhi. – KOSMO! ONLINE