SEREMBAN – Seorang pelajar institut pengajian tinggi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa atas pertuduhan melakukan sumbang mahram dengan adik kandung yang berusia 12 tahun pada Januari dan Mac 2021.
Tertuduh, yang berusia 22 tahun dan merupakan pelajar di Pasir Gudang, Johor bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di depan Hakim, Datin Surita Budin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati telah melakukan sumbang mahram dengan adik kandungnya yang berusia 12 tahun lapan bulan semasa kejadian pada Januari 2021
Ia yang mana perhubungan tertuduh dengannya adalah tidak dibenarkan dibawah undang-undang yang terpakai kepada tertuduh untuk berkahwin dengannya.
Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang juga anak keempat didapati telah melakukan sumbang mahram dengan adik bongsunya yang berusia 12 tahun lapan bulan pada Mac 2021.
Oleh itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 16(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Timbalan Pendakwaraya, Jiwan Kaur Malkith Sing tidak menawarkan wang jaminan memandangkan tertuduh dan mangsa merupakan adik beradik dan tinggal di rumah yang sama.
“Mangsa yang merupakan anak bongsu dari lima beradik, kini berada di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.
Sementara, peguam mewakili tertuduh, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris bagaimanapun memohon kepada mahkamah membenarkan wang jaminan yang rendah dapat diberikan kepada tertuduh kerana akan menjalani latihan praktikal di Pasir Gudang, Johor.
“Tertuduh akan memenuhi segala syarat tambahan yang ditetapkan,” katanya.
Surita kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dengan syarat tambahan.
“Tertuduh juga diminta tidak mengganggu mangsa dan dikehendaki melaporkan diri di balai berdekatan setiap bulan dan perlu tinggal bersama abang ipar,” katanya.
Tarikh sebutan semula kes pada 18 Mac depan. – KOSMO! ONLINE