SEBERANG PERAI – Sebuah mesin di sebuah kilang pembuatan besi di Lorong Perusahaan Perai 12, Perai di sini hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya yang tiba di lokasi kejadian mendapati sebuah mesin gegelung getah di kawasan berkeluasan 150 kaki persegi terbakar kira-kira 50 peratus.
Menurut beliau, api berjaya dikawal pukul 8.18 pagi sebelum operasi ditamatkan pukul 8.55 pagi.
Operasi berkenaan digerakkan oleh anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai. – K! ONLINE