JAKARTA – Penyokong regu calon Presiden dan Naib Presiden Indonesia yang baharu, Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka meraikan pencapaian kedua-dua pemimpin itu dalam menguasai kiraan pantas undian pilihan raya Presiden 2024 (Pilpres 2024).
Saluran berita CNN Indonesia melaporkan, penyokong Prabowo dan Gibran berkumpul di stadium Istora Gelora Bung Karno, Jakarta serta berselawat beramai-ramai sekitar pukul 6 petang (waktu tempatan), sebentar tadi.
Mereka kemudian melaungkan slogan dan bersorak bagi meraikan ‘kemenangan’ awal regu tersebut.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung parti Gerindra, Ahmad Muzani berkata, Prabowo melakukan sujud syukur sebagai menyambut keputusan kiraan pantas Pilpres 2024.
“Prabowo rasa bersyukur dan tentunya beliau menganggap ini sebagai satu anugerah. Beliau bersujud syukur atas kemenangan itu,” kata Ahmad Muzani di rumah Prabowo di Jakarta.
Setakat ini, regu Prabowo-Gibran, masih mendahului undian oleh kaedah kiraan cepat dengan mendapat 58.8 peratus, demikian menurut salah satu badan yang dilantik, Litbang Kompas. – AGENSI