LIVERPOOL – Penyerang ikon Mesir, Mohamed Salah mencetuskan keterujaan di kalangan peminat Liverpool menerusi perkembangan terkini mengenai status kecederaannya seakan gambaran kepulangannya untuk kembali beraksi dalam masa terdekat.
Salah, 31, memuat naik empat keping gambar di laman Instagram peribadinya menunjukkan dia sedang menjalani latihan ringan di Pusat Latihan AXA dan memberi petanda kecederaannya seperti sudah pulih sepenuhnya.
Bintang The Reds itu masih belum bermain sebarang perlawanan bersama Liverpool tahun ini kerana mewakili Mesir dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2023 sebelum mengalami kecederaan hamstring pada kejohanan tersebut.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp sebelum ini memberi bayangan Salah berkemungkinan besar boleh diturunkan untuk perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) seterusnya menentang Brentford di Stadium Komuniti Gtech pada Sabtu ini.
“Mo (Salah) berada pada landasan yang betul. Kami berharap, tetapi kami masih tidak tahu sama ada dia boleh menyertai latihan bersama skuad utama selepas ini. Namun, kami mengharapkan perkara yang positif.
“Dia menunjukkan petanda yang amat positif sejak kebelakangan ini. Jika anda bertanyakan kepada saya bilakah dia akan kembali turun beraksi? Jawapan saya adalah menentang Brentford pada 17 Februari ini,” kata Klopp.
Ia pastinya satu berita gembira buat kem The Reds yang kini dalam misi untuk menjuarai kesemua gelaran yang dipertandingkan musim ini bermula EPL, Piala FA, Piala Liga Inggeris (EFL) dan Liga Europa.
Seandainya berjaya, ia akan menjadi hadiah perpisahan terindah buat Klopp yang akan melepaskan jawatannya penghujung musim ini. – AGENSI