GEORGE TOWN – Polis berjaya membongkar satu sindiket pengedaran ganja selepas merampas 20 ketulan mampat ganja yang menyerupai jongkong emas di dalam but sebuah kereta di Teluk Kumbar di sini, Jumaat lalu.
Dalam operasi kira-kira pukul 8.30 malam itu, polis turut menahan dua lelaki tempatan berusia 23 hingga 34 tahun yang disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah tersebut.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, pihak polis telah melancarkan operasi terancang di Teluk Kumbar dan berjaya menahan kedua-dua suspek di dalam kereta jenis Honda City.
“Kedua-dua suspek merupakan penganggur itu ditahan bersama dadah jenis ganja yang disimpan di dalam kereta tersebut.
“Hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket ini bergiat aktif sejak penghujung tahun 2023 untuk pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Menurutnya, dadah tersebut disyaki diseludup dari negara jiran namun siasatan lanjut masih dijalankan.
“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM62,000 dan boleh digunakan oleh seramai 40,000 orang atau 40,000 kali penggunaan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua tangkapan positif dadah dan seorang suspek berusia 34 tahun mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah,” katanya.
Tambahnya, kesemua tangkapan ditahan reman selama tujuh hari bermula 10 Februari lalu untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
Dalam perkembangan lain, Mohamed Usuf berkata, prestasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang bagi tahun 2023 telah menunjukkan peningkatan berbanding 2023.-KOSMO! ONLINE