PUTRAJAYA- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas media sosial atau kenyataan dikeluarkan mana-mana individu yang didapati menyentuh isu 3R.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pemantauan itu turut melibatkan isu berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Katanya, pemantauan itu melibatkan semua perkara dan elemen yang boleh menyumbang kepada ketidaktenteraman awam.
“Pemantauan polis terhadap reaksi awam ini adalah pemantauan yang berterusan kita lakukan (dan) saya sendiri mendapat jaminan dari Ketua Polis Negara.
“Tiada tumpuan khusus yang istimewa sebab pemantauan polis ini dilakukan secara berterusan dan kalau kita kesan ada reaksi berlebihan yang kemudiannya ada aduan, itu memang sudah ada pasukan siasatan khas di Bukit Aman yang akan bertindak segera,” katanya ketika sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE