fbpx

Penganggur licik tipu urusan cari rumah sewa dijel empat bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai penguat kuasa KPDN mengiringi Shaffiyah Virdanie (kiri) keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini untuk dibawa ke Penjara Pengkalan Chepa. -Foto ROSALWANI CHE SOH/KOSMO!

KOTA BHARU – Seorang penganggur dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu urusan perkhidmatan mencari rumah sewa dengan mengenakan bayaran sebanyak RM520 kepada seorang wanita, lima bulan lalu.

Hakim Nooriah Osman membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Shaffiyah Virdanie Syamsul, 20, selepas mengambil kira mengenai perbuatannya yang mempunyai kematangan dan kemahiran untuk membuat penipuan terhadap mangsa.

“Tertuduh begitu teliti dan licik dalam membuat penipuan itu dengan menggunakan internet. Ia merupakan kesalahan jenayah yang serius meskipun masih berusia 19 tahun ketika melakukan perbuatan itu.

“Sebagai pengajaran dan kepentingan awam, hukuman yang diberikan diharap dapat memberi pengajaran agar tertuduh tidak mengulangi kesalahan yang sama pada masa depan,” katanya.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Shaffiyah Virdanie didakwa bersetuju menerima bayaran sebanyak RM520 melalui sebuah akaun bank tanpa mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa tertuduh dapat membekalkan perkhidmatan rumah sewa kepada seorang wanita.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah bank di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa di sini pada 14 dan 15 September tahun lalu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd. Sophian Zakaria dan Shafiq Mahadi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Mahkamah Sesyen di sini menangguhkan hukuman terhadap Shaffiyah Virdanie sementara menunggu laporan sosial dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandangkan wanita itu masih di bawah umur ketika melakukan kesalahan tersebut.

Tertuduh dalam rayuannya memohon supaya mahkamah mengurangkan hukuman kerana sudah menyesal atas perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Februari untuk prosiding jatuh hukum. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI