PETALING JAYA – Kucing yang diberi makan daging mentah atau tidak dimasak dengan baik termasuk tikus, berkemungkinan besar boleh dijangkiti kuman Toxoplasma sekali gus risiko kepada ibu mengandung keguguran janin atau kematian bayi yang dikandung.
Pegawai perubatan swasta yang juga pempengaruh media sosial, Dr. Malar Santhi Santherasegapan berkata, jangkitan itu berlaku pada usus kucing dan ia memberi risiko kepada ibu mengandung sewaktu mengendalikan pembersihan najis haiwan tersebut.
“Kucing bukan punca jangkitan Toxoplasmosis, tapi najis dari kucing yang menyebabkan jangkitan. Kuman Toxoplasma ini hidup dalam usus kucing, namun bukan semua kucing.
“Misalnya kucing yang makan daging mentah, daging tak dimasak dengan baik misalnya kucing makan tikus. Sumber sebegini berkemungkinan besar usus kucing itu ada kuman Toxoplasma.
“Tapi kalau kucing makan makanan dalam tin (khas untuk kucing) atau makanan kucing peket, kebiasaannya kucing macam tu tidak mempunyai kuman Toxoplasma di usus,” katanya pada video dimuat naik di TikTok malam tadi.
Beliau mengulas laporan media tahun lalu berhubung seorang wanita kematian bayi sembilan bulan dalam kandungan dilaporkan berpunca daripada najis haiwan tersebut.
Dr. Malar Santhi berkata, ibu mengandung yang tinggal serumah dengan kucing juga bukan penyumbang kepada risiko jangkitan Toxoplasmosis.
“Jadi kalau wanita mengandung bela kucing, sudahlah kucing itu kesayangan bertahun-tahun jaga. Sayang nak lepaskan. Waktu mengandung tak ada masalah, boleh hidup serumah,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memberi panduan dari segi pengendalian najis haiwan tersebut bagi mengelakkan risiko dijangkiti kuman Toxoplasma.
“Pertama, kalau boleh dapatkan orang lain untuk kendalikan najis. Kerja anda (ibu mengandung) hanya tinggal nak main dengan kucing. Kedua, kalau memang tak ada orang lain kendalikan, boleh uruskan sebaiknya pakai sarung tangan dan pakai pelitup muka.
“Ketiga, cuci tangan bersih-bersih, jadi tak ada kuman berbaki di tapak tangan.
“Keempat, sekiranya bercucuk tanam atau mengerjakan tanah juga terdedah jangkitan Toxoplasmosis. Wanita mengandung kalau suka bercucuk tanam, tiada masalah boleh pakai sarung tangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE