PETALING JAYA – Jabatan Audit Negara (JAN) menganjurkan Kursus Pemantapan Penyata Kewangan Majlis Agama Islam dengan objektif untuk memberikan pendedahan tentang ciri-ciri penyata kewangan yang teratur kepada para peserta.
Kursus yang berlangsung di Akademi Audit Negara, Bandar Enstek, Negeri Sembilan itu disertai seramai 70 peserta yang merupakan kakitangan Majlis Agama Islam serta agensi berkaitan pengurusan baitulmal, zakat dan wakaf.
Selain itu, kursus tersebut juga diharapkan dapat menjadi platform perbincangan dalam usaha mengurangkan isu berkaitan pengurusan kewangan dan penyediaan penyata kewangan yang dibangkitkan semasa pengauditan.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, JAN memainkan peranan penting sebagai ‘check and balance’ untuk meningkatkan ketelusan pengurusan zakat dan keyakinan pemegang taruh terutamanya pembayar zakat.
Tambah beliau, sebanyak lapan Majlis Agama Islam telah diberikan Sijil Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan Tahun 2022.
Kursus yang berlangsung selama tiga hari tersebut merangkumi pelbagai topik, antaranya Pengenalan kepada Piawaian Perakaunan bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW) dan Panduan Penyediaan Penyata Kewangan yang Teratur.
Turut dibincangkan adalah topik berkaitan perakaunan dan isu pengauditan bagi kutipan dan agihan zakat, aset wakaf dan harta faraid serta kupasan berkaitan pengurusan dan sistem kewangan berkaitan pengurusan dan sistem kewangan Majlis Agama Islam. – KOSMO! ONLINE