KUALA LUMPUR – Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan memberitahu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low selalu menggunakan pengaruhnya sebagai orang yang rapat dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Saksi pendakwaan ke-50 itu berkata kebanyakan tindakan Jho Low adalah mahu beliau dan pengurusan kanan 1MDB melihat dirinya sebagai proksi kepada Perdana Menteri Malaysia sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat (CBOA) IMDB.
“Secara lazimnya, untuk mendapatkan tandatangan semua pihak terlibat adalah tanggungjawab setiausaha syarikat dan ketua pegawai eksekutif namun bagi dokumen yang berkaitan dengan pelaburan 1MDB akan disediakan oleh saya dan diserah kepada Jho Low untuk mendapatkan tandatangan Datuk Seri Najib.
“Kadangkala Jho Low akan meminta saya menyediakan dokumen syarikat yang memerlukan tandatangan Datuk Seri Najib. Setelah saya menyerahkan dokumen-dokumen tersebut, saya tidak tahu bagaimana Jho Low mendapatkan tandatangan Datuk Seri Najib.
“Saya juga ingin menyatakan bahawa sepanjang saya berkhidmat di 1MDB, saya cuma berjumpa Datuk Seri Najib dalam acara atau mesyuarat 1MDB secara beramai-ramai bersama pihak pengurusan tetapi saya tidak pernah bersemuka secara bersendirian atau secara terus dengan beliau untuk sebarang urusan berkaitan syarikat,” katanya.
Jasmine Loo, 51, berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya setebal 63 muka surat semasa pemeriksaan utama pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi Najib.
Terdahulu, saksi itu dalam keterangannya turut memberitahu dia mula berjumpa dengan Jho Low buat pertama kalinya adalah pada tahun 2008 yang mana pada ketika itu, dia mendapat tahu bahawa terdapat satu peluang pekerjaan di UBG Berhad iaitu syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia.
“Tawaran pekerjaan itu adalah untuk menjaga hal ehwal undang-undang syarikat di bawah kumpulan UBG Berhad. Selepas itu saya telah menghadiri satu temuduga dengan pihak UBG Berhad di mana saya telah berjumpa untuk pertama kalinya dengan Low Taek Jho (Jho Low) selaku pengarah UBG Berhad, Nik Faisal Ariff Kamil selaku pengarah Eksekutif Pelaburan di UBG Berhad dan Tan Vern Tact selaku pengarah eksekutif pembangunan perniagaan,” katanya.
Tambahnya lagi, selepas itu dia kemudian telah berjaya dalam temuduga tersebut dan menerima satu tawaran dari UBG Berhad sebagai Pengarah Eksekutif Undang-undang dengan pendapatan bulanan lebih kurang RM45,000 sebulan termasuk elaun lain seperti elaun kenderaan, elaun minyak dan elaun perjalanan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.
Pada prosiding sebelum ini, pihak pendakwaan memaklumkan akan memanggil Jasmine Loo memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, pihaknya bercadang memanggil Jasmine Loo ekoran keterangan Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner Foo Wei Min pada prosiding lalu.
Wei Min dalam keterangannya pernah bersetuju bahawa keterangan wanita itu sama ada boleh menyelamatkan Najib atau menyebabkan bekas Perdana Menteri disabitkan dengan tuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Sebelum ini, Wei Min dalam keterangannya pernah menyatakan Jasmine Loo akan menjadi saksi penting yang boleh mendedahkan isu berkaitan Tanore Finance Corporation, iaitu entiti yang didakwa memindahkan AS$681 juta ke dalam akaun bank Najib. – KOSMO! ONLINE