NEW DELHI – Penduduk kampung Mundhwa, Keshavnagar dan Kharadi di bandar Pune, India terkejut apabila menyaksikan fenomena ‘puting beliung nyamuk’ yang terbentuk di langit di sekitar Sungai Mutha, lapor laman berita Deccan Herald semalam.
Netizen berkongsikan beberapa video yang menunjukkan sejumlah besar nyamuk terbang serentak, menyebabkan ia membentuk beberapa formasi menyerupai puting beliung.
Menurut laporan berita NDTV, keadaan tersebut menimbulkan panik dalam kalangan penduduk yang mengadu menghadapi pelbagai masalah akibat ancaman serangga itu.
Sungai itu dilaporkan mengandungi empangan kecil dan loji rawatan air.
Aliran air yang perlahan telah menyebabkan pengumpulan air sekali gus mewujudkan keadaan yang cukup sesuai untuk pembiakan nyamuk.
Menurut akhbar The Indian Express, keadaan di sepanjang sungai itu telah menjejaskan penduduk yang tinggal di bangunan kediaman, pelajar sekolah dan pejabat korporat.
Penduduk menyatakan kebimbangan mereka di platform media sosial dan menyuarakan pendapat mereka mengenai potensi bahaya merebaknya penyakit seperti malaria, denggi, dan chikungunya. – AGENSI