PETALING JAYA – Aplikasi simpanan dan pelaburan berlesen, Raiz memperkenalkan versi baharu Raiz Kids dalam usaha menangani isu celik kewangan rendah dalam kalangan rakyat Malaysia, sambil menanam sikap pengurusan kewangan yang baik kepada kanak-kanak.
Misi Raiz adalah untuk membolehkan dan menyokong kewangan rakyat di negara ini menerusi tabiat menyimpan tanpa perubahan besar dalam gaya hidup mereka, dengan hanya menyimpan wang baki daripada pembelian harian.
Raiz Kids, yang tersedia dalam aplikasi Raiz sedia ada membolehkan ibu bapa melakukan perkara yang sama untuk anak-anak mereka, dan pada masa yang sama menyediakan alat penting untuk belajar tentang belanjawan, menyimpan serta melabur sejak kecil.
Ciri utama Raiz Kids membolehkan ibu bapa memilih sama ada memberikan akses terkawal kepada anak-anak mereka melalui akaun kanak-kanak atau memberikan akses penuh, kedua-duanya membolehkan si kecil melihat bagaimana pelaburan mereka dilaksanakan dan berkembang.
Apabila anak mereka berumur 18 tahun, akaun tersebut boleh ditukarkan kepada akaun dewasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Raiz Malaysia, Aidi Izham berkata, versi baharu Raiz Kids yang dipertingkatkan memberikan ibu bapa peluang untuk membiarkan anak-anak mereka menguruskan akaun supaya boleh belajar kemahiran pengurusan wang secara praktikal.
“Raiz Kids bukan sekadar platform pelaburan, ia adalah alat yang berkuasa untuk ibu bapa menerapkan ilmu celik kewangan yang berharga kepada anak-anak mereka,” katanya.
Sejak pra-pelancarannya pada Januari lalu, lebih daripada 3,500 akaun Raiz Kids baharu telah didaftarkan.
Dengan penambahbaikan besar berkenaan, Raiz menyasarkan untuk menggalakkan penggunaan ciri ini, seterusnya memposisikannya sebagai platform pelaburan pertama seumpamanya bagi generasi muda. -KOSMO! ONLINE