PETALING JAYA – Selepas dua tahun bercinta, penyampai radio atau deejay Fly FM, Arieff Yong melamar kekasih asal Sepanyol di sebuah pawagam pada 10 Februari lalu.
Pemilik nama lengkap Arieff Efenddy Yong itu mengakui sudah bersedia melangkah ke alam perkahwinan bersama Sylvia Good yang disifatkan sebagai anugerah terindah.
“Saya bertunang dengan cinta hati saya hari ini (10 Februari). Saya kena rahsiakannya sepanjang satu minggu kerana mahu melamarnya dalam pawagam. Jadi, saya kena rancang segalanya.
“Buat Sylvia Good, sejak pertemuan pertama kita, saya tahu perjalanan bersama kamu tidak akan pernah tak luar biasa.
“Hari ini, selangkah lagi kita akan hidup bersama, cinta saya terhadap kamu terus mekar,” katanya.
Dalam masa sama, sebagai pempengaruh Arief, 29, tidak dinafikan sering berdepan godaan dalam media sosial walaupun terbuka menonjolkan cinta hatinya.
“Rasanya semua pengikut tahu yang saya sudah ada teman wanita.
“Saya tak pernah berahsia mengenai soal peribadi.
“Tak dinafikan, saya ada terima mesej peribadi berbentuk godaan dalam media sosial. Tetapi, saya tak layan pun,” ujarnya.
Pasangan itu mulai menjalin hubungan sejak April 2022 dan sering menghasilkan kandungan media sosial bersama-sama. – KOSMO! ONLINE